Lembaga Tabung Haji (TH), institusi Islamik negara hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3,977,165.86 bagi tahun 2014 kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah, dalam satu majlis di Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Pembayaran zakat perniagaan TH ini disampaikan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Pembayaran zakat bagi Negeri Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak RM208,037.13 (5.5 peratus) berbanding RM3,769,128.73 (2013). Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2014 yang dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah bernilai RM49.87 juta berbanding RM46.29 juta (2013). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi dan pencapaian keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2014.