Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Malam Jalinan Emas sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhannya di Grand Ballroom, KLCC.
Malam Jalinan Emas ini bertujuan untuk meraikan lima dekad pencapaian TH dalam memacu kecemerlangan ekonomi ummah serta memperingati lakaran penubuhan dan sejarah evolusi perkhidmatan TH kepada umat islam. Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir Haji Baharom.
Majlis turut dihadiri oleh lebih 1,300 orang anggota TH, Ahli Lembaga Pengarah TH, Panel Pelaburan TH, pengurusan kanan anak-anak syarikat TH seperti TH Plantations Berhad, Kumpulan TH Properties, BIMB Holdings, Bank Islam, Takaful Malaysia dan pesara TH.
Pada majlis yang sama, TH telah memperkenalkan "Kapsul Masa JUbli Emas" yang mengandungi warkah nota daripada YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi TH, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH kepada barisan kepimpinan, pengurusan dan anggota TH tahun 2038.
Hadir sama di dalam majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Senator Dato' Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi TH, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari bin Mohamed Nor, YBhg. Dato' Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.