Lembaga Tabung Haji, sebuah institusi pemangkin ekonomi negara yang beriltizam untuk melestarikan ekonomi komuniti Islam Malaysia, membiayai sumbangan hadiah utama Qari dan Qariah berjumlah RM20,000 untuk Majlis Tilawah Al-Quran Antara Universiti Peringkat Kebangsaan Kali Ke – 4 2013 anjuran Yayasan Pelajar Islam Malaysia (YPIM) di Muzium Kesenian Islam, hari ini.
Seramai 28 orang qari dan qariah dari 16 buah universiti tempatan telah mengambil bahagian dalam tilawah Al-Quran kali ini. Johan qari telah dimenangi oleh Mohamad Husaini Mahmur, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia manakala johan qariah telah dimenangi oleh pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Faezah Banun.
Johan Qari dan Qariah membawa pulang hadiah masing-masing yang berupa wang tunai berjumlah RM10,000, senaskhah Al-Quran, piala, jam taqwim solat digital serta sijil penyertaan untuk setiap seorang.