Kumpulan terakhir seramai 281 Jemaah Haji Malaysia musim 1434H/2013M (KT 69) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Malaysia Airlines, MH8309 pada jam 7.30 pagi.
Ketibaan para jemaah disambut oleh para Pengurusan Kanan Tabung Haji, MAS dan ahli-ahli keluarga masing-masing yang sudah berada di balai ketibaan, KLIA sejak awal pagi lagi.
Penerbangan terakhir cartar haji ini menandakan berakhirnya operasi haji bagi musim 1434H/2013M. Sebanyak 64 buah penerbangan yang terdiri daripada 39 penerbangan Malaysia Airlines dan 25 penerbangan Saudi Airlines telah digunakan untuk membawa pulang seramai lebih kurang 22,000 orang jemaah haji secara berperingkat-peringkat bermula pada 21 Oktober 2013 yang lalu.