Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Iqra' Tahun 2013 bagi Peringkat Negeri Kedah Darul Aman. Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Pendang, Kedah Darulaman.
Projek Iqra' ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang mensasarkan para pelajar kurang bernasib baik dan berkemampuan dari seluruh negara. Pada 2013 ini, TH mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan ini berjumlah RM1.4 juta kepada lebih 2,812 pelajar.
Negeri Kedah Darulaman merupakan negeri pertama pada tahun ini menerima sumbangan dan akan disusuli dengan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. Pada majlis yang diadakan hari ini, sejumlah 111 pelajar dalam kategori asnaf daripada tiga (3) buah sekolah terpilih daripada Daerah Pendang, Kedah telah menerima sumbangan. Jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan adalah bernilai RM55,500. Setiap seorang pelajar terpilih telah menerima sumbangan zakat pendidikan berjumlah RM500.00 yang berupa kelengkapan sekolah dan juga wang tunai.