Seramai 400 peserta terdiri daripada imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara berpeluang mengerjakan ibadat haji secara percuma menerusi program khas tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Dianjurkan buat tahun kedua, program yang turut mendapat kerjasama Lembaga Tabung Haji itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan golongan berkenaan yang memainkan peranan cukup besar dalam aktiviti dan urusan kemasyarakatan di kawasan masing-masing.
Pada majlis berkenaan, Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri turut menyampaikan surat tawaran dan kelengkapan mengerjakan haji kepada semua peserta berupa sepasang kain ihram dan beberapa kelengkapan lain. Hadir sama, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Dato' Paduka Ismee Ismail.