Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor berjumlah RM3,700,181.43 di Istana Pasir Pelangi, Johor.
Zakat Perniagaan TH Negeri Johor telah dipersembahkan oleh YBhg. Dato' Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang telah berkenan untuk menerima persembahan zakat tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Dalam majlis yang sama juga, pihak TH telah menyerahkan replika cek sumbangan Projek Baiti TH berjumlah RM350,000.00 untuk pembinaan 10 buah rumah baru untuk golongan asnaf miskin terpilih di daerah Mersing, Johor.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YB. Dato' Haji Zainal Abidin Bin Haji Osman, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor; YBhg. Dato' Haji Abd. Razak Bin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor; YB. Dato' Haji Nooh Bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor; Sohibus Samahah Dato' Haji M. Tahrir Bin Dato' Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor; Tuan Haji Mohd Noh Bin Ibrahim, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Johor; Tuan Haji Ahmad Sohaimi Dato' Abd Rahim, Pengarah TH Negeri Johor serta para pegawai TH.