KUALA LUMPUR, 2 Julai 2026 – Lembaga Tabung Haji (TH) melalui inisiatif kewangan sosial Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Sadaqa House, melancarkan Program Pembangunan Belia Asnaf untuk Pemerkasaan Individu secara Inklusif dan Mampan (DAYA INSANI) bagi memperkasa belia asnaf dan anak yatim melalui latihan kemahiran khusus dan penempatan pekerjaan berkualiti di rakan strategik industri yang dikenal pasti.
Selaras dengan aspirasi Bakat MADANI, program ini mencerminkan komitmen bersama TH dan Bank Islam dalam membangunkan modal insan secara inklusif, khususnya bagi golongan yang memerlukan sokongan untuk meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi mereka.
Program DAYA INSANI menggabungkan pembangunan kemahiran, pendedahan industri dan penempatan pekerjaan dengan matlamat melahirkan individu yang berdaya saing, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara mampan.
Bersempena pelancaran inisiatif kolektif Bakat MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Sendayan, Negeri Sembilan, TH menyalurkan dana perintis sebanyak RM1 juta kepada Sadaqa House bagi melaksanakan program ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 belia asnaf dan anak yatim sebagai permulaan.
Sumbangan kepada dana DAYA INSANI turut dibuka kepada syarikat korporat, institusi dan individu yang ingin menyumbang ke arah pembangunan generasi muda asnaf dan anak yatim yang lebih berdaya saing dan berkemahiran. Dana tersebut akan digerakkan oleh Sadaqa House dengan kerjasama rakan strategik industri dan institusi pendidikan, antaranya:
Kulim Hi-Tech Park Skills Centre (KHTP) – melahirkan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi.
Kolej Universiti Bestari (UCB) dan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) – melatih jururawat profesional.
Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) – membangunkan akauntan bertauliah.
Showme Education – melahirkan pakar terapi profesional.
Program DAYA INSANI turut memperkukuh inisiatif pembangunan bakat yang telah dilaksanakan sebelum ini. Antaranya Program Diploma Kejururawatan bersama UCB dan KMI Healthcare yang bermula pada tahun 2024, dengan 19 pelajar masih mengikuti pengajian dan seorang graduan telah berjaya memasuki alam pekerjaan. Selain itu, kumpulan pertama latihan teknikal di KHTP yang melibatkan 13 peserta telah memulakan latihan pada Jun 2026 dengan sasaran peningkatan penyertaan kepada 100 peserta dalam tempoh terdekat.
Usaha TH membangunkan bakat masa depan turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan Malaysian Professional Accountancy Centre (MyPAC) dan INCEIF University bagi melahirkan akauntan bertauliah serta profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam bertaraf global yang berintegriti, kompeten dan berdaya saing.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, Program DAYA INSANI mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memperkasa pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan belia asnaf dan anak yatim.
"TH percaya bahawa pelaburan terbaik untuk masa depan ummah adalah pelaburan dalam pembangunan modal insan. Melalui Program DAYA INSANI, kami komited menyediakan akses kepada latihan, pendedahan industri dan peluang pekerjaan yang mampu mengubah masa depan mereka," jelas beliau.
Beliau berkata inisiatif tersebut juga selaras dengan komitmen TH dalam menyokong agenda pembangunan bakat negara melalui kerjasama strategik antara institusi kewangan Islam, sektor korporat dan pemain industri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, program tersebut membuktikan komitmen Bank Islam dalam memperkasa bakat muda menerusi pendekatan kewangan sosial yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
"Kami percaya setiap individu berpotensi untuk berjaya apabila diberikan akses dan sokongan yang tepat. Melalui DAYA INSANI, kami berharap lebih ramai belia asnaf dan anak yatim dapat membina masa depan yang lebih cerah serta mencapai potensi penuh mereka." Program DAYA INSANI diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat masa hadapan negara serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan sejahtera.
-TAMAT-

