Galeri Haji

Pameran di Galeri Haji menampilkan pelbagai artifak berkaitan haji, bahan interaktif dan tayangan video yang memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelawat.

Company logo

Galeri Haji diwujudkan sebagai sebuah pusat rujukan dan pameran yang memelihara serta mendokumentasikan sejarah pengurusan ibadat haji di Malaysia. Ia bertujuan memastikan warisan berkaitan ibadat haji terus dipelihara melalui penyelidikan, penerbitan, dokumentari video serta pengumpulan artifak yang signifikan dengan perjalanan dan pengurusan haji.

Lokasi Strategik

Galeri Haji terletak di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Sepang, Selangor. Lokasi ini dipilih secara strategik kerana MHCC berperanan sebagai stesen pelepasan utama jemaah haji semasa musim haji serta merupakan pusat mesyuarat dan konvensyen yang popular.

image

image

Apa yang Menarik di Galeri Haji

Galeri Haji menyediakan maklumat komprehensif berkaitan:

1

Sejarah pengurusan ibadat haji di Malaysia.

2

Aktiviti dan perjalanan ibadat haji.

3

Lokasi-lokasi bersejarah berkaitan ibadat haji.

4

Kefahaman menyeluruh mengenai rukun dan amalan ibadat haji.

Galeri Haji sebagai Pusat Ilmu dan Pendidikan

Selain berperanan sebagai ruang pameran, Galeri Haji juga turut menempatkan Pusat Rujukan Ibadat Haji (RAJIH) atau Hajj Centre of Excellence yang berfungsi sebagai pusat sumber dan rujukan bagi bimbingan serta ilmu berkaitan ibadat haji.

 

Hasil penyelidikan dan kajian ilmiah turut diterbitkan dalam bentuk buku, monograf, jurnal dan bahan bacaan lain bagi memperluaskan penyebaran ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji.

Melalui pendekatan ini, Galeri Haji bukan sahaja berfungsi sebagai ruang pameran, malah sebagai pusat pendidikan yang menyumbang kepada peningkatan kefahaman, kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap ibadat haji secara menyeluruh.

Galeri Haji juga memberi peluang kepada para pelawat, khususnya bakal jemaah haji, untuk merasai pengalaman awal seolah-olah berada di Tanah Suci serta memahami secara praktikal pelaksanaan ibadat haji.

Temui sejarah. Hayati pengorbanan. Dalami makna ibadat haji.

Jom kunjungi Galeri Haji dan hayati perjalanan ibadat haji dari perspektif sejarah, pengurusan dan spiritual. Saksikan koleksi artifak, dokumentari rasmi serta pameran interaktif yang bukan sahaja mendidik, malah menyentuh jiwa.

Galeri ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat bakal jemaah haji, pelajar, penyelidik serta pengunjung yang ingin memahami keagungan ibadat haji dan peranannya dalam pembangunan ummah.

Waktu Operasi

Dibuka setiap hari kecuali Isnin

9.30 pagi hingga 4.30 petang

NOTIS PENANGGUHAN OPERASI GALERI HAJI

Untuk makluman, operasi Galeri Haji akan ditangguhkan

bermula 12 Januari 2026 sehingga 1 April 2026.

Sepanjang tempoh penangguhan ini, Galeri Haji hanya akan

menerima permohonan lawatan secara rombongan,

tertakluk kepada kelulusan.

Sebarang permohonan lawatan rombongan hendaklah

dikemukakan melalui email berikut haji.galeri@lth.gov.my.

Lokasi

Galeri Haji Tabung Haji


Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang, Selangor