Laman sesawang dan platform digital TH baharu serta Kalkulator Simpanan Haji mudah diakses dan mesra pengguna antara inisiatif terbaru TH
KUALA LUMPUR, 23 FEBRUARI 2026: Susulan kelancaran dan keberkesanan proses tawaran Haji bagi musim 1447H/2026M, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan komitmen baharu untuk membantu, membimbing dan menyemarakkan lebih ramai rakyat Malaysia merealisasi impian menunaikan ibadah Haji melalui program persiapan Haji, #menujuistitoah. Program pendidikan dan penglibatan digital seluruh negara ini bertujuan memastikan para pendeposit lebih bersedia ketika dijemput untuk menunaikan Haji apabila tiba masanya nanti.
Inisiatif #menujuistitoah memberi penekanan kepada pengukuhan kesiapsiagaan Haji secara menyeluruh yang merangkumi persediaan kewangan, rohani, fizikal dan mental, selaras dengan pendekatan baharu TH yang mengutamakan disiplin perancangan kewangan serta persediaan awal yang lebih berstruktur.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, langkah ini mencerminkan komitmen TH dalam membantu, membimbing dan menyokong impian Haji rakyat Malaysia menjadi kenyataan. “Misi utama Tabung Haji adalah untuk membantu para pendeposit merealisasi impian Haji mereka. Ibadah yang merupakan rukun Islam yang kelima ini menjadi impian sekali seumur hidup yang memerlukan niat yang tulus dan persediaan yang rapi. Kami percaya kami dapat melakukan sebaik mungkin untuk membantu dan berhasrat menjadikan matlamat ini lebih mudah, lebih ringkas dan lebih lancar melalui pendidikan, teknologi digital serta perkhidmatan yang diperbaharui,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, memaklumkan bahawa pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menyokong agenda ini. “Kami telah menambah baik dan memperbaharui laman sesawang serta platform digital TH supaya lebih mudah diakses dan mesra pengguna. Pengenalan Kalkulator Simpanan Haji membantu orang ramai merancang simpanan secara realistik dan berstruktur,” jelas beliau.
Selama lebih enam dekad, TH tegak berdiri bersama rakyat Malaysia dalam merealisasi hasrat menunaikan ibadah Haji. Kini, TH memperkukuh landasan ini dengan mempertingkat sistem, memperhalusi pendekatan penglibatan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan bagi memastikan pendeposit dapat merancang matlamat menunaikan Haji dengan lebih jelas dan sistematik.
Kajian terkini TH menunjukkan masih terdapat sebahagian umat Islam di Malaysia yang belum memulakan simpanan Haji secara berstruktur. Bagi pendeposit sedia ada pula, perancangan lebih awal kini menjadi semakin penting, khususnya berikutan kos Haji yang kian meningkat dan tempoh menunggu giliran Haji yang semakin panjang.
Pendekatan baharu ini memastikan TH kekal berdaya tahan, bertanggungjawab serta berteraskan prinsip Maqasid Shariah, dengan kepentingan pendeposit sentiasa menjadi keutamaan.
TH akan terus memperkukuh usaha pembaharuan ini bagi memastikan tahap kesiapsiagaan Haji sentiasa dipertingkatkan dan setiap musim Haji dapat diuruskan dengan lebih tersusun serta lancar. Untuk maklumat lanjut mengenai perjalanan Simpanan Haji, sila layari laman sesawang rasmi Tabung Haji.
-TAMAT -

