PROGRAM PERINTIS BERJAYA, TABUNG HAJI PERLUAS PROGRAM LITERASI KEWANGAN KE SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan komitmen memperkasa literasi kewangan masyarakat dengan memperluas pelaksanaan Program “Cilik-Cilik Dah Celik” ke seluruh negara secara berperingkat, susulan kejayaan program perintisnya.

 

Kira-kira 100 keluarga peserta Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik” menghadiri Majlis Graduasi sempena kejayaan pelaksanaan kumpulan perintis program tersebut. 

 

Program ini merupakan inisiatif literasi kewangan TH yang menyasarkan keluarga muda khususnya yang mempunyai anak di bawah 12 tahun bagi membina asas pengurusan kewangan kukuh serta memupuk budaya menabung sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata program ini menekankan peranan keluarga dalam membentuk tabiat kewangan positif dan disiplin menabung sejak usia muda.

 

“Melalui pendidikan kewangan di kalangan keluarga muda, para pendeposit dapat merancang kewangan terutamanya simpanan anak-anak dengan lebih tersusun dan beransur-ansur ke arah menuju istito’ah, iaitu untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

 

Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik” dilancarkan pada 4 Oktober 2025 dan merangkumi enam modul utama sepanjang tempoh enam bulan termasuk perancangan kewangan keluarga, pengurusan aliran tunai, simpanan dan pelaburan serta keselamatan kewangan.

 

Peserta turut mengikuti bengkel, simulasi, pembelajaran dalam talian dan aktiviti gamifikasi bagi pengalaman pembelajaran yang interaktif. Inisiatif ini mencerminkan komitmen TH dalam memperkasa literasi kewangan dan menyokong pembinaan generasi celik kewangan, selaras dengan aspirasi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 serta usaha membantu pendeposit #menujuistitoah.

 

TH yang juga merupakan Ahli Bersekutu Financial Education Network (FEN) yakin usaha ini dapat menumpukan kepada pembinaan generasi celik kewangan yang bukan sahaja mampu mengurus kewangan dengan lebih baik, malah mempunyai kesedaran awal untuk menyimpan dan merancang kewangan demi memenuhi tuntutan ibadah haji pada masa hadapan.

 

-TAMAT-