AYER KEROH, 12 JUN 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan Zakat TH bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM3,155,678.55 kepada Majlis Agama Islam Negeri Melaka dalam majlis yang telah berlangsung di Dewan Seri Utama Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Penyerahan zakat TH telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.
“Zakat TH yang disalurkan ini bukanlah sekadar tanggungjawab, tetapi pemangkin perubahan dalam memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf dan yang memerlukan di Melaka. Bagi TH, penyaluran zakat setiap tahun ke seluruh negara, termasuk Melaka, adalah amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab,” kata Mustakim.
“Melalui pembayaran zakat ini, TH berharap lebih ramai golongan asnaf dan mereka yang memerlukan dapat dibantu melalui pelbagai program kebajikan, pendidikan dan kesihatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama negeri,” tambah beliau.
Bagi tahun 2025, TH juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.065 juta bagi pelaksanaan pelbagai program zakat wakalah di Melaka. Diantaranya adalah Program Iqra’ TH IPTA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Program Afiat yang menyediakan 50 katil mekanikal di beberapa hospital di negeri Melaka, Program Iqra’ Sekolah Angkat Madani, Program Ehsan Raya serta inisiatif TH Cares.
Sumbangan tersebut telah memberi manfaat kepada 2,770 orang asnaf di Melaka.
“Pengagihan zakat wakalah TH melalui program yang dirancang secara khusus adalah selaras dengan Maqasid Shariah bagi memastikan zakat dimanfaatkan secara strategik dan mampan dan diagihkan secara terus kepada asnaf,” kata Mustakim.
Melalui Program Zakat Wakalah TH, bantuan kepada lebih 726,000 asnaf di seluruh negara telah disalurkan TH dalam tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta asnaf dalam tempoh sedekad.
Sehingga 31 Mei 2026, TH mempunyai seramai 397,624 pendeposit di Melaka dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM3.12 bilion.
TH akan terus memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islam yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memperkukuhkan kesejahteraan ummah melalui pengagihan zakat yang efektif serta program-program pembangunan masyarakat yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
-TAMAT-
PDF Kenyataan Akhbar
Tabung Haji Serah Zakat Lebih RM3Juta Kepada Majlis Agama Islam Negeri Melaka
