KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini berada dalam keadaan yang jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 hasil usaha pemulihan lebih lapan tahun dahulu. Ini jelas dapat dilihat melalui kejayaan TH mengekalkan kos haji selama tiga tahun berturut-turut (2024-2026) dan pengumuman Agihan Keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada tahun 2025. Tindakan pemulihan yang diambil pada tahun 2018 adalah satu keputusan strategik untuk melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan kewangan TH.
Latar belakang penstrukturan TH pada tahun 2018
Penstrukturan semula TH pada tahun 2018 adalah bagi menangani kedudukan kewangan yang memerlukan tindakan segera.
Bagi Tahun Kewangan Berakhir 2017, Ketua Audit Negara telah membangkitkan Emphasis of Matter (EoM) berhubung amalan pengiktirafan rosot nilai aset tertentu yang tidak memberi gambaran sebenar kedudukan kewangan TH. Pada masa yang sama, Bank Negara Malaysia turut membangkitkan kebimbangan terhadap kedudukan aset TH yang lebih rendah berbanding liabiliti dan keadaan ini menunjukkan terdapat jurang yang perlu ditangani segera bagi memastikan TH terus mematuhi Akta Tabung Haji 1995.
Kedudukan kewangan semakin meruncing pada tahun 2018
Jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada tahun 2017 terus meningkat pada tahun 2018 sehingga mencecah kira-kira RM10 bilion. Sekiranya keadaan ini tidak ditangani sebelum berakhir tahun 2018, TH berkemungkinan besar tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan Agihan Keuntungan.
Justeru, penstrukturan semula perlu dilaksanakan segera bagi memastikan TH kembali berada dalam kedudukan aset melebihi liabiliti serta kekal upaya (solven).
Kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan pelan penstrukturan
Dalam keadaan tersebut, Kerajaan pada ketika itu telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelan penstrukturan TH. Tindakan ini diambil bagi mengelakkan risiko TH tidak dapat mengisytiharkan Agihan Keuntungan kepada para pendeposit dan terus menjejaskan kedudukan kewangan TH serta keyakinan pendeposit.
Selain itu, terdapat juga risiko kesan kepada keupayaan TH untuk melaksanakan mandatnya dalam pengurusan dana dan perkhidmatan haji.
Tempoh pelaksanaan yang sangat terhad
Pada masa itu, TH hanya mempunyai tempoh kira-kira tiga (3) bulan sahaja untuk melaksanakan pelan penstrukturan semula sebelum berakhirnya tahun kewangan 2018.
Maka, penyelesaian yang diambil telah dinilai dengan teliti serta memenuhi dua kriteria utama iaitu:
- Praktikal dan boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat
- Berupaya memulihkan kedudukan kewangan TH secara serta-merta.
Keputusan terbaik untuk menstabilkan TH
Keputusan yang diambil pada akhir tahun 2018 adalah yang terbaik pada ketika itu bagi menangani isu kedudukan kewangan TH.
Setelah mengambil kira kekangan masa, implikasi kewangan dan kepentingan pendeposit, Kerajaan telah memutuskan bahawa kaedah terbaik ialah melalui pengambilalihan aset tertentu yang kurang berdaya saing dan bermasalah pada nilai premium bagi menampung kerugian yang dialami ketika itu dan untuk memulihkan kedudukan kewangan TH pada kedudukan solven dengan aset melebihi liabiliti pada akhir tahun mengikut kehendak Akta TH 1995.
Pelan pengambilalihan oleh Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh Kerajaan, iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) membolehkan TH untuk terus kekal solven, mematuhi kehendak Akta Tabung Haji, meneruskan pengisytiharan Agihan Keuntungan kepada pendeposit dan menstabilkan kedudukan kewangannya untuk tempoh jangka panjang.
Pelan ini bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, malah menjadi asas kepada usaha transformasi dan pemulihan TH sejak tahun 2018.
TH tidak wajib membeli semula aset yang dipindahkan
Di bawah pelan penstrukturan semula, TH tidak mempunyai sebarang obligasi atau kewajipan mengambilalih semula aset yang telah dipindahkan kepada UJSB. TH hanya memiliki Right of First Refusal (Hak Keutamaan untuk Menolak) sekiranya UJSB berhasrat untuk menjual aset tersebut pada masa hadapan tertakluk kepada penilaian komersil dan kesesuaian kepada kriteria pelaburan TH pada ketika itu.
Pengambilalihan dua (2) aset UJSB pada tahun 2026
Pada tahun 2026, TH telah mengambilalih dua (2) daripada beberapa aset yang ditawarkan oleh UJSB. Pengambilalihan dua aset ini dibuat selepas pertimbangan wajar berasaskan komersil yang dibuat mengikut kesesuaian dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang berkuatkuasa serta kriteria pelaburan TH yang telah ditetapkan dan bukan disebabkan kewajipan pematuhan kepada kehendak pelan penstrukturan TH tahun 2018.
Pengambilalihan Tanah di TRX
Salah satu aset yang telah dijual kepada UJSB pada tahun 2018 adalah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada nilai premium berjumlah RM400 juta. Pada tahun 2026 setelah menyaksikan pembangunan pesat berlaku di TRX, TH mengambil keputusan untuk mengambilalih semula tanah di TRX tersebut pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran komersil semasa. Transaksi ini menunjukkan TH hanya akan mengambilalih semula aset yang memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburan demi menjaga kepentingan para pendepositnya.
Pengambilalihan Perladangan Kelapa Sawit UJEH
Pada tahun 2018 juga TH telah menjual perladangan kelapa sawit yang kini dikenali sebagai UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd (UJEH) pada nilai premium berjumlah RM800 juta. Pada tahun 2026, TH telah mengambilalih semula UJEH pada nilai pasaran semasa berdasarkan kaedah penilaian Enterprise Value berjumlah RM695 juta daripada UJSB setelah perladangan ini menunjukkan pemulihan hasil dan kestabilan aliran tunai. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan amalan pasaran setelah melalui proses penilaian yang sewajarnya.
Aset lain tidak diperoleh semula
TH turut ditawarkan beberapa aset lain untuk dipertimbangkan. Walau bagaimanapun, aset-aset tersebut tidak memenuhi kriteria pelaburan dan SAA yang ditetapkan TH. Ini adalah kerana pemerolehan aset-aset berkenaan berpotensi memberi kesan negatif kepada pulangan pelaburan serta kedudukan kewangan TH.
Justeru, TH memutuskan untuk tidak memperoleh aset-aset tersebut demi menjaga kepentingan jangka panjang pendeposit.
Pelan penstrukturan telah berjaya menstabilkan TH
Pelan penstrukturan semula tahun 2018 telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu:
- Memulihkan kedudukan kewangan TH
- Menjadikan TH kembali solven
- Membolehkan TH terus mengisytiharkan Agihan Keuntungan secara mampan
- Menjadi asas kepada prestasi kewangan yang lebih kukuh pada hari ini
Pengukuhan kedudukan kewangan TH sejak tahun 2018
Sejak tahun 2018, pihak pengurusan TH telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuhkan lagi Lembaran Imbangan (balance sheet) dan meningkatkan daya tahan TH.
Antara inisiatif ini termasuklah:
- Pembersihan dan rasionalisasi portfolio pelaburan
- Memperkukuh tadbir urus dan pengurusan Risiko
- Pelaksanaan strategi pelaburan yang lebih berhemah dan mampan
- Memperbaiki kecekapan operasi serta pengurusan kos.
Kesimpulan
Pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada tahun 2018 ini telah menjadi asas penting kepada transformasi dan pengukuhan prestasi TH sehingga ke hari ini.
- Kedudukan kewangannya kembali memenuhi syarat aset melebihi liabiliti
- TH terus dapat mengisytiharkan Agihan Keuntungan yang stabil dan mampan kepada lebih 9 juta pendeposit
- Peningkatan ketara kadar Agihan Keuntungan daripada 1.25 peratus (tahun kewangan 2018) kepada 3.50 peratus (tahun kewangan 2025).
- Kedudukan Lembaran Imbangan (balance sheet) TH menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan.
- TH juga berjaya mengekalkan mandatnya dalam mengurus simpanan umat Islam serta konsisten menyampaikan perkhidmatan haji bertaraf dunia
- TH terus menerima pengiktirafan antarabangsa tertinggi bagi pengurusan operasi haji dan perkhidmatan untuk jemaah haji Malaysia.
-TAMAT-

