KUALA LUMPUR, 6 OGOS 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim berkaitan pelunasan zakat TH yang mengikut hukum syarak.
Beliau yang juga merupakan salah seorang mantan ahli Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH telah memberikan butiran penjelasan menyeluruh bagi kefahaman masyarakat secara amnya dan para pendeposit khususnya berkaitan proses pengurusan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit yang sah dan diperakui melalui proses ijtihad yang berautoriti.
TH komited dalam mematuhi operasi dan tadbir urus zakat berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH yang dianggotai oleh pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam. TH berharap para pendeposit dapat terus memberikan sokongan dan kekal yakin dengan pengurusan TH dalam menguruskan amanah kepada lebih 9.8 juta pendepositnya.
-TAMAT-

