PROGRAM PERINTIS BERJAYA, TABUNG HAJI PERLUAS PROGRAM LITERASI KEWANGAN KE SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan

komitmen memperkasa literasi kewangan masyarakat dengan memperluas

pelaksanaan Program “Cilik-Cilik Dah Celik” ke seluruh negara secara

berperingkat, susulan kejayaan program perintisnya.

 

Kira-kira 100 keluarga peserta Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik”

menghadiri Majlis Graduasi sempena kejayaan pelaksanaan kumpulan perintis

program tersebut.

Program ini merupakan inisiatif literasi kewangan TH yang menyasarkan

keluarga muda khususnya yang mempunyai anak di bawah 12 tahun bagi

membina asas pengurusan kewangan kukuh serta memupuk budaya

menabung sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim

Mohamad berkata program ini menekankan peranan keluarga dalam

membentuk tabiat kewangan positif dan disiplin menabung sejak usia muda.

“Melalui pendidikan kewangan di kalangan keluarga muda, para pendeposit

dapat merancang kewangan terutamanya simpanan anak-anak dengan

lebih tersusun dan beransur-ansur ke arah menuju istito’ah, iaitu untuk

menunaikan ibadah haji,” katanya.

 

Program Literasi Kewangan “Cilik-Cilik Dah Celik” dilancarkan pada 4 Oktober

2025 dan merangkumi enam modul utama sepanjang tempoh enam bulan

termasuk perancangan kewangan keluarga, pengurusan aliran tunai,

simpanan dan pelaburan serta keselamatan kewangan.

 

Peserta turut mengikuti bengkel, simulasi, pembelajaran dalam talian dan

aktiviti gamifikasi bagi pengalaman pembelajaran yang interaktif.

 

Inisiatif ini mencerminkan komitmen TH dalam memperkasa literasi kewangan

dan menyokong pembinaan generasi celik kewangan, selaras dengan

aspirasi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 serta usaha

membantu pendeposit #menujuistitoah.

 

TH yang juga merupakan Ahli Bersekutu Financial Education Network (FEN)

yakin usaha ini dapat menumpukan kepada pembinaan generasi celik

kewangan yang bukan sahaja mampu mengurus kewangan dengan lebih

baik, malah mempunyai kesedaran awal untuk menyimpan dan merancang

kewangan demi memenuhi tuntutan ibadah haji pada masa hadapan.

 

-TAMAT-

 

Bahagian Komunikasi Korporat

Lembaga Tabung Haji