LAPORAN RCI: TH PATUT REKOD KERUGIAN 1.4 BILION PADA 2017 BERBANDING UNTUNG 3.4 BILION MENGIKUT PIAWAIAN PERAKAUNAN MFRS

KUALA LUMPUR, 31 JULAI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil maklum dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang antara lain meneliti aspek pelaporan kewangan dan pengisytiharan Agihan Keuntungan TH bagi tempoh sebelum pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan pada tahun 2018.
 

Sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, TH tertakluk kepada Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240], yang mewajibkan penyediaan penyata kewangan berdasarkan prinsip-prinsip perakaunan yang diiktiraf umum. Di Malaysia, piawaian tersebut adalah Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS).
 

Menurut laporan RCI, penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017 tidak mengguna pakai MFRS sepenuhnya. Sekiranya piawaian MFRS digunapakai sepenuhnya pada ketika itu, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan tersebut.
 

RCI berpendapat bahawa penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) adalah tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset kerana RAV tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH yang diaudit. Dapatan ini memperkukuh keperluan untuk memastikan penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan.
 

Laporan RCI juga menyatakan pendekatan yang diambil oleh TH dalam mengagihkan keuntungan dari tahun 2014 hingga 2017 adalah tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji. Agihan Keuntungan hendaklah dibayar daripada keuntungan sebenar dan bukannya daripada dana pendeposit sendiri.
 

Menurut RCI, amalan tersebut telah memberi kesan kepada rizab kewangan TH serta mewujudkan jangkaan berterusan terhadap kadar Agihan Keuntungan yang tinggi dalam kalangan pendeposit. Kedudukan kewangan TH pada tahun 2014 sehingga 2017 menunjukkan jurang defisit aset-liabiliti yang terus berkembang daripada RM352 juta kepada RM4,093 juta.
 

Sebelum ini, Agihan Keuntungan diisytiharkan sebelum auditan ke atas penyata kewangan dimuktamadkan. Sehubungan itu, RCI telah mengesyorkan agar Agihan Keuntungan hanya diisytiharkan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan kemampanan kewangan.
 

TH menyambut baik syor tersebut dan telah melaksanakan pendekatan berkenaan sejak tahun 2022. Kini, Agihan Keuntungan hanya diumumkan berdasarkan keputusan kewangan yang telah diaudit, sekali gus memperkukuh integriti proses pelaporan kewangan dan meningkatkan keyakinan pendeposit terhadap institusi.
 

Hasil daripada pelaksanaan reformasi tadbir urus, penambahbaikan pengurusan risiko serta pengukuhan strategi pelaburan, prestasi kewangan TH terus menunjukkan perkembangan positif. Agihan Keuntungan telah meningkat daripada 3.10% bagi tahun kewangan 2023, kepada 3.25% pada 2024, sebelum mencapai 3.50% pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
 

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan TH untuk mengurus simpanan lebih 9.8 juta pendeposit secara berhemat, telus dan mampan, selaras dengan mandat institusi sebagai pengurus dana umat Islam serta pemudah cara ibadah haji negara.
 

-TAMAT-