KUALA TERENGGANU, 10 JULAI 2026: Atas sambutan dan kejayaan memberangsangkan program rintis melibatkan sekitar 100 keluarga muda daripada sekitar Lembah Klang tahun lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan program literasi kewangan ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ sekali lagi dan kali ini khusus untuk keluarga muda di wilayah Pantai Timur.
Program yang mendapat sokongan teknikal dan kerjasama strategik daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini akan melibatkan seramai 100 keluarga daripada sekitar negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang, bertujuan membina tabiat kewangan positif serta melahirkan generasi celik kewangan sebagai persediaan mencapai impian menunaikan rukun Islam ke lima mereka pada masa hadapan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata program yang pertama kali dilancarkan pada tahun lepas ini telah mencatatkan pencapaian cemerlang berdasarkan pengukuran prestasi simpanan. Penilaian tahap pendidikan kewangan peserta turut membuktikan keberkesanan pengisian modul serta intervensi yang dilaksanakan.
“Alhamdulillah, para peserta daripada program perintis ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ pada tahun lepas telah merekodkan pencapaian prestasi yang amat cemerlang. Sepanjang program berlangsung, daripada keseluruhan hampir 100 keluarga yang menyertai, sebanyak 92.3 peratus peserta telah menyimpan secara konsisten. Lebih 50 peratus peserta pula berjaya mencapai simpanan melebihi RM1,000 dalam tempoh 100 hari dan 80 peratus peserta menunjukkan peningkatan positif dalam aspek sikap, pengetahuan dan tingkah laku kewangan,” kata beliau.
Mustakim turut menjelaskan hasil daripada modul pembelajaran dan bimbingan yang menarik serta interaktif, ibu bapa dan anak-anak telah berjaya memperkukuh keupayaan merangka perancangan kewangan yang lebih teliti, menilai perbelanjaan secara kritis serta membuat keputusan kewangan dengan lebih bijak dan berdisiplin.
“TH komited untuk membantu masyarakat membina asas kewangan yang kukuh untuk persediaan haji dan kami mahu masyarakat memahami bahawa persediaan ini perlu bermula dari awal. Dengan literasi kewangan yang baik, seseorang dapat merancang, menabung dan membuat persediaan secara lebih teratur supaya perjalanan menuju istito’ah dapat dilalui dengan lebih tenang dan yakin,” tambah beliau lagi.
Salah seorang bekas peserta ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ daripada siri tahun lepas, Nur Nabilah Alias berkata program ini telah banyak membantu beliau sekeluarga menyusun atur perancangan kewangan dan ekonomi keluarga dengan lebih berhemah serta menikmati manfaatnya dengan kehidupan kewangan yang lebih sejahtera sekarang.
“Program seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi celik kewangan yang lebih bersedia menghadapi masa depan. Semoga segala ilmu dan amalan yang dipelajari menjadi bekalan yang berpanjangan, bukan sahaja untuk kesejahteraan dunia, tetapi juga sebagai persediaan menuju istito’ah dalam menunaikan ibadah haji,” kata beliau.
Program “Cilik-Cilik Dah Celik” tahun 2026 ini masih mengekalkan format yang sama di mana para peserta akan dibimbing secara terus menerusi enam modul literasi kewangan yang merangkumi transformasi minda, perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai, membina kekayaan, perlindungan daripada penipuan kewangan serta pengurusan hutang.
Sepanjang program yang akan berlangsung sehingga bulan November ini, ibu bapa akan dibimbing secara berterusan melalui bengkel pendidikan kewangan, sesi simulasi kewangan, pembelajaran atas talian, gamifikasi dan pemantauan simpanan anak-anak secara konsisten. Sebagai galakan, peserta layak menerima ganjaran bulanan dan hadiah utama berdasarkan komitmen, konsistensi dan pencapaian simpanan.
Seiring perkembangan digital masa kini, TH turut memberi penekanan kepada pencegahan penipuan kewangan di mana para peserta akan didedahkan cara mengenal pasti ‘scammer’ bagi melindungi data peribadi dan cara melaporkan cubaan penipuan kepada pihak berkuasa.
-TAMAT-

