URUSAN DI KAUNTER LEBIH MUDAH, TH PERKENAL SISTEM GILIRAN DIGITAL

KUALA LUMPUR, 16 MAC 2026: Setelah pelancaran laman sesawang baharu yang lebih moden dan mesra pengguna, kini Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan pula sistem giliran digital bagi perkhidmatan kaunter di seluruh cawangan bermula 15 Mac 2026. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata inisiatif yang ditambah baik ini adalah bagi menyokong pemerkasaan digital TH di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih mudah, ringkas dan lancar dengan memperkenalkan perkhidmatan sistem pengurusan nombor giliran yang pintar, moden dan mesra pengguna. 

Melalui sistem giliran digital yang dikenali sebagai TH Digital Queue, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR dan akan menerima notifikasi nombor giliran di telefon pintar sebelum berurusan di kaunter TH

Kini pelanggan boleh menguruskan masa dengan lebih sistematik, tidak perlu menunggu lama di kaunter dan boleh berada di mana-mana dengan memantau nombor giliran melalui telefon pintar masing-masing. TH Digital Queue juga dilengkapi dengan fungsi penilaian Indek Kepuasan Pelanggan, e-Borang Maklumbalas Pelanggan dan informasi untuk pendeposit. 

TH komited untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan pengalaman pelanggan terbaik kepada seluruh 9.7 juta pendeposit. Pengenalan sistem ini merupakan langkah berterusan pendigitalan TH bagi memudahkan urusan pendeposit tanpa perlu beratur panjang dan menunggu lama untuk mendapatkan nombor giliran,” kata beliau.

TH yakin sistem TH Digital Queue ini akan membantu melancarkan lagi urusan pelanggan di kaunter kami di seluruh Malaysia di samping memastikan proses pengendalian maklum balas pelanggan diuruskan dengan telus dan segera,” tambah Mustakim.