TH PRIHATIN SEDIA BAS ULANG ALIK PERCUMA UNTUK JEMAAH KE MASJIDIL HARAM

MAKKAH, 30 APRIL 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited untuk memastikan kesejahteraan para jemaah haji negara di tahap terbaik dengan menyediakan perkhidmatan bas ulang alik daripada hotel penginapan ke Masjidil Haram.


Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata lapan buah bas disediakan khusus untuk jemaah haji Malaysia secara percuma ini adalah nilai tambah daripada perkhidmatan menyeluruh oleh pihak TH bagi memudahkan perjalanan mereka ke masjid.


“Kesemua bas ini akan beroperasi sepanjang hari selama 24 jam dan ini merupakan bukti komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji untuk tahun ini,” kata beliau. Perkhidmatan bas secara ulang alik ini akan beroperasi daripada Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesyen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Dataran Masjidil Haram.


“Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar serta dapat membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci,” jelas beliau lagi.


Hisham juga berkata inisiatif ini diharapkan dapat membantu memelihara tahap kesihatan para jemaah terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari wukuf memandangkan keadaan cuaca semakin panas di sini.
 

Bagi musim haji 1447H/2026M ini, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah untuk menempatkan 31,600 orang jemaah iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.

-TAMAT-