TH LANCAR HAJI LESTARI FASA 2 SETELAH KUMPUL HAMPIR 4,000 KG KAIN IHRAM

IPOH, 3 OGOS 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) telah melancarkan fasa baharu Program Haji Lestari yang akan memberi manfaat kepada bakal jemaah haji negara setelah berjaya mengumpulkan hampir 4,000 kilogram (kg) kain ihram terpakai di Tanah Suci. Kain ihram yang terkumpul telah diserahkan kepada Thoub Al -Ataa Charity Association, sebuah entiti yang dilesenkan oleh National Center for Waste Management, Arab Saudi untuk diproses melalui kaedah kitar semula terkawal yang selamat dan sistematik.

 

Haji Lestari Fasa 2 akan memberi tumpuan kepada pengumpulan kain ihram terpakai di Malaysia untuk diproses melalui kaedah kitar tinggi (upcycling) bagi menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah seperti sejadah mini dan beg serbaguna untuk dimanfaatkan oleh bakal jemaah haji Malaysia pada musim haji akan datang, selaras dengan konsep "Daripada Jemaah, Untuk Jemaah."

 

Program ini akan bermula dari Ogos 2026 sehingga musim haji seterusnya, melibatkan aktiviti pengumpulan kain ihram terpakai di semua pejabat TH negeri dan pejabat cawangan TH terpilih.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata sambutan terhadap inisiatif tersebut ketika musim haji baru baru ini amat menggalakkan apabila lebih 1,700 kg kain ihram berjaya dikumpulkan di Mina dan lebih 2,000 kg lagi di Makkah, Arab Saudi.

 

"Kejayaan Haji Lestari Fasa 1 membuktikan kesedaran para jemaah haji Malaysia terhadap kepentingan kelestarian semakin meningkat. Kain ihram yang dikumpulkan akan dikitar tinggi menjadi produk baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat serta bakal jemaah haji pada musim akan datang," katanya.

 

Inisiatif ini menyokong amalan ekonomi kitaran (circular economy) dengan memanfaatkan semula kain ihram terpakai. Langkah ini memperkukuh komitmen penuh TH terhadap pemeliharaan alam sekitar, bukan sahaja dalam pengurusan haji malah pada setiap peringkat operasi.

 

Program ini selaras dengan aspirasi Saudi Vision 2030, kelestarian ihram yang menyokong usaha pengurangan sisa tekstil, pemeliharaan alam sekitar dan mengukuhkan ekonomi kitaran yang mampu menjana peluang pekerjaan.

 

Mustakim turut menyeru seluruh para jemaah haji dan umrah agar bersama-sama menjayakan program Haji Lestari dengan menyumbangkan kain ihram terpakai mereka.

 

"Setiap sumbangan bukan sahaja menyokong usaha kelestarian, malah membolehkan manfaatnya diteruskan kepada bakal jemaah haji yang lain. Kami berharap Haji Lestari akan menjadi model pengurusan pasca haji yang lestari, berimpak tinggi dan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta alam sekitar," katanya.

 

-TAMAT-