TABUNG HAJI CATAT PRESTASI TERBAIK DALAM LAPAN TAHUN, UMUM AGIHAN KEUNTUNGAN 3.50 PERATUS KEPADA 9.7 JUTA PENDEPOSIT.

Agihan berjumlah RM3.22 bilion mencerminkan peningkatan pendapatan, pengurusan kewangan berdisiplin dan strategi pelaburan yang berdaya tahan.

 

• Tabung Haji mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, berjumlah RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara. 

• Agihan ini meningkat berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih kukuh serta pengurusan kewangan yang berdisiplin. 

• Jumlah pendapatan pelaburan meningkat kepada paras tertinggi RM4.64 bilion bagi tahun 2025. 

• Tabung Haji turut melunaskan zakat berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Melalui Program Zakat Wakalah TH, lebih 726,000 asnaf menerima bantuan dalam tahun 2025. 

• Tahun 2025 merupakan prestasi terbaik Tabung Haji dalam tempoh lapan tahun, disokong tadbir urus yang diperkukuh, pengurusan kos berdisiplin dan strategi pelaburan yang mantap dan berdaya tahan. 

• Agihan keuntungan ini diisytiharkan selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

 

KUALA LUMPUR, 18 MAC 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, melibatkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara. 

Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik. TH terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia.

Agihan keuntungan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit, kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN). 

Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Sejak penubuhannya 62 tahun lalu, TH telah mengagihkan sebanyak RM49.0 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit. 

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata keputusan tahun 2025 merupakan prestasi kewangan terbaik dalam tempoh lapan tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh. 

“Alhamdulillah, Tabung Haji terus memberikan pulangan yang mampan kepada para pendeposit sambil memperkukuh kerangka kewangannya. Kedudukan kunci kira-kira yang semakin mantap mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, tadbir urus yang lebih cekap serta portfolio pelaburan yang kukuh.” 

Beliau turut menegaskan bahawa dalam suasana global yang semakin tidak menentu, TH kekal fokus melindungi simpanan pendeposit sambil memastikan pulangan yang kompetitif dan mampan. Ini bagi menyokong hala tuju ke arah mencapai istito’ah, serta menggalakan persiapan dan disiplin kewangan untuk menunaikan ibadah haji.

 

PERTUMBUHAN PENDAPATAN DIDORONG PENGURUSAN BERDISIPLIN

TH mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada tahun 2025, berbanding RM4.56 bilion pada tahun 2024. 

Aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimban.

Pengurusan kos yang berdisiplin serta pengurusan portfolio berhemat di bawah kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) adalah antara penyumbang utama kepada prestasi TH tahun ini. Senario ekonomi tempatan yang kian bertambah baik turut memberi impak positif. 

Pendapatan Tetap mewakili 53 peratus daripada jumlah pendapatan, kekal sebagai penyumbang utama, diikuti Ekuiti sebanyak 34 peratus. Hartanah menunjukkan peningkatan, manakala pelaburan Pasaran Wang turut mencatat prestasi yang memuaskan. Sebanyak 86 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dijana melalui pelaburan domestik, mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang sihat. Aktiviti pelaburan TH dikawal selia berpandukan SAA. 

Dari segi prestasi pelaburan, Ekuiti Persendirian mencatat pulangan pelaburan (ROI) tertinggi sebanyak 8.29 peratus mencerminkan aktiviti yang kukuh sepanjang tahun. Ekuiti Luar Negara pula merekodkan ROI sebanyak 7.03 peratus, manakala Ekuiti Domestik mencatatkan 5.47 peratus. 

Hartanah memberikan ROI yang stabil sebanyak 5.03 peratus, manakala Pendapatan Tetap mencatat 4.41 peratus, selaras dengan pulangan bagi kelas aset tersebut. Pasaran Wang pula mencatatkan ROI sebanyak 3.95 peratus, agak sederhana dan seiring dengan kadar dasar yang lebih rendah. 

Secara keseluruhannya, prestasi ini mencerminkan pulangan yang seimbang, selaras struktur portfolio pelaburan TH yang pelbagai.

Keadaan ekonomi Malaysia yang semakin baik turut menyokong persekitaran pelaburan yang lebih positif. Pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025 adalah lebih baik daripada jangkaan, disokong oleh peningkatan aliran pelaburan serta pengukuhan nilai ringgit yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun. 

Dalam konteks ini, agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus tersebut kekal kompetitif, melebihi purata kadar deposit tetap Islam satu tahun sebanyak 3.22 peratus.

Indeks FBM KLCI mencatat kenaikan sederhana sebanyak 2.3 peratus, manakala FBM Emas Shariah Index menurun 3.9 peratus pada tahun 2025, mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati. Kunci kira-kira TH yang telah diperkemas meletakkannya dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengkaji semula SAA bagi tahun-tahun akan datang dengan tahap keyakinan yang lebih tinggi.

 

KEDUDUKAN KEWANGAN LEBIH KUKUH

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, TH telah melaksanakan beberapa inisiatif transformasi strategik bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya, menyelesaikan isu legasi, serta memperkasakan tadbir urus dan pengurusan risiko. Langkah ini bertujuan memperhalusi strategi pelaburan bagi memastikan pulangan yang lebih mampan. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata disiplin dan kawalan kos dan kecekapan operasi turut menyumbang kepada prestasi kewangan yang lebih baik. 

“Kami telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan sebanyak 6.0 peratus dan sedang membina semula rizab kewangan. TH akan terus memperkukuh kedudukan kewangannya bagi melindungi simpanan para pendeposit.” Kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion, melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.

 

SUMBANGAN ZAKAT MEMPERKUKUH IMPAK SOSIAL

Pulangan yang diumumkan TH adalah setelah mengambil kira zakat bagi pihak para pendeposit. Zakat adalah satu ciri penting yang merupakan keistimewaan TH berbanding institusi simpanan lain di Malaysia. 

Bagi tahun 2025, TH melunaskan RM95.3 juta zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri dengan Negeri Selangor menerima agihan zakat tertinggi sebanyak RM27.0 juta, sejajar dengan jumlah simpanan pendeposit dari negeri tersebut. Jumlah keseluruhan zakat yang telah dilunaskan sejak penubuhan TH mencecah RM1.57 bilion.

Melalui Program Zakat Wakalah TH, bantuan kepada lebih 726,000 asnaf telah disalurkan TH dalam tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta asnaf dalam tempoh sedekad.

 

MENDOKONG IMPIAN RAKYAT MALAYSIA MENUNAIKAN HAJI

Sebagai institusi haji, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam Malaysia menunaikan ibadah haji sejak penubuhannya. Pengurusan simpanan haji secara berhemah penting supaya TH dapat terus menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pendeposit dalam merealisasi impian menunaikan ibadah haji. 

Baru-baru ini, TH memperkenalkan #menujuistitoah, satu inisiatif pendidikan dan penglibatan digital peringkat nasional yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk memulakan simpanan haji lebih awal serta menabung secara konsisten. 

Menurut Mustakim, “Pengukuhan kemampuan atau istito’ah kewangan kekal sebagai teras misi Reform dan Rejuvenate (R2) Tabung Haji. Ia bermula dengan menggalakkan budaya menabung secara berdisiplin supaya rakyat Malaysia bersedia dari segi kewangan apabila tiba giliran mereka menunaikan haji.” 

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 10.00 pagi, 19 Mac 2026 melalui platform THiJARI, di kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, serta melalui saluran elektronik rakan strategik perbankan TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.