ALOR GAJAH, 10 FEBRUARI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Program Pengukuhan Petugas Haji Tanah Suci sebagai latihan persediaan untuk 564 petugas haji yang akan menyantuni 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata program selama empat hari bermula hari ini di Kem Permata Resort bertujuan memastikan semua petugas haji berada pada tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme yang tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada jemaah di Tanah Suci.
Beliau berkata penekanan turut diberikan kepada aspek kemahiran pengurusan, pematuhan sistem kualiti serta pengukuhan nilai integriti dan ihsan dalam kalangan petugas haji selaku barisan hadapan perkhidmatan haji negara.
Menurut YB Senator Dr. Zulkifli, petugas haji Musim Haji 1447H/2026M adalah terdiri daripada 339 orang Petugas Rombongan Kebajikan daripada warga kerja TH, anak syarikat TH dan agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) dan juga pesara TH manakala seramai 225 lagi merupakan Petugas Rombongan Perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia merangkumi doktor pakar, doktor, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat.
“Saya berkeyakinan gabungan petugas baharu dan berpengalaman daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran akan membentuk satu pasukan yang mantap serta mampu meneruskan kesinambungan kualiti perkhidmatan terbaik kepada para Dhuyufurrahman. Modul kursus yang dipelajari akan membantu membina pasukan petugas yang tekun, berintegriti, bertanggungjawab dan profesional,” tambah YB Senator Dr. Zulkifli.
Program Pengukuhan Petugas tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Marhamah Rosli; Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad; Tuan Haji Mohd Hisham Harun, Pengarah Haji merangkap Ketua Rombongan Haji serta pengurusan kanan TH.
Bagi musim haji tahun ini, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei 2026.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melibatkan AMAL by Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines.
-TAMAT-
PDF Kenyataan Akhbar
564 PETUGAS HAJI JALANI PROGRAM PENGUKUHAN MENJELANG MUSIM HAJI 1447H/2026M
