SEPANG, 18 APRIL 2026: Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi hari ini dengan keberangkatan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 284 orang ke Tanah Suci.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada jemaah dari stesen berlepas Alor Setar, Kedah dan Sepang, Selangor itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu Arab Saudi.
Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan. Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Marhamah Rosli, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad serta barisan pengurusan kanan TH.
Dalam ucapannya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan merakamkan penghargaan kepada TH dan semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan haji Malaysia kekal cemerlang.
Beliau turut menasihatkan para jemaah agar menghayati peranan sebagai dhuyufurrahman dengan mengikhlaskan niat, menjaga adab serta memperbanyakkan amal ibadah sepanjang berada di Tanah Suci. Jemaah juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memberikan kerjasama penuh kepada petugas haji demi kelancaran perjalanan ibadah.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah, atas kesinambungan pelaksanaan inisiatif Makkah Route yang kini memasuki tahun kelapan.
Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melalui AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.
Penerbangan pertama bermula hari ini, manakala penerbangan terakhir ke Tanah Suci dijadualkan pada 20 Mei 2026. TH turut memaklumkan bahawa dua pasukan petugas haji awal telah dihantar ke Arab Saudi seawal 11 April bagi melaksanakan persediaan awal dalam menyambut ketibaan jemaah.
Selain Alor Setar dan Sepang, enam lagi stesen berlepas turut disediakan bagi urusan melapor diri jemaah haji di seluruh negara iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu.
-Tamat-
PDF Kenyataan Akhbar
OPERASI HAJI 1447H BERMULA, 284 JEMAAH PERTAMA BERLEPAS KE MADINAH
