KEMPEN ‘TIADA VISA, TIADA HAJI’ DILANCARKAN ELAK PENIPUAN HAJI

PUTRAJAYA, 27 APRIL 2026: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan hari ini melancarkan Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” semasa Majlis Perhimpunan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kompleks Islam Putrajaya. 

 

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata Kerajaan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) mengutamakan keselamatan rakyat sebagai antara misi utama kempen ini dengan memastikan hanya jemaah yang memiliki visa sah dibenarkan menunaikan ibadah haji, sekali gus melindungi kebajikan jemaah haji negara. 

 

Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak pergi melakukan ibadah haji ke Arab Saudi secara sendiri (DIY) kerana sekiranya terdapat sebarang permasalahan timbul seperti jemaah jatuh sakit dan sebagainya kebajikan jemaah yang pergi secara sendiri tidak dapat dilindungi.

 

“Kejayaan usaha ini turut bergantung pada tindakan bersama, kerjasama dan kesedaran masyarakat untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata beliau. 

 

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan bahawa penggunaan visa selain visa haji seperti visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah untuk tujuan menunaikan haji adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi. 

 

“Kebenaran memasuki kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina hanya diberikan kepada jemaah yang memiliki visa haji sah. Sebarang pelanggaran peraturan ini boleh mengakibatkan tindakan undang-undang termasuk denda, penjara serta sekatan daripada memasuki Tanah Suci pada masa hadapan,” katanya.

 

Sebagai peringatan penting, beliau turut berkongsi beberapa ketetapan utama oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Kemasukan ke Makkah bagi tujuan haji adalah tertakluk kepada pemilikan visa haji yang sah atau dokumen rasmi seperti Iqamah atau permit kerja di kawasan Tanah Suci. Visa lawatan termasuk visa umrah, pelancongan dan perniagaan dilarang untuk menunaikan haji.

 

Individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga SR100,000, manakala warga asing berdepan risiko pengusiran. Mana-mana pihak yang didapati membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga SR50,000. 

 

Dalam masa yang sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-129 telah memutuskan bahawa menunaikan haji tanpa visa sah adalah berdosa walaupun ibadah yang memenuhi rukun dan syarat tersebut adalah salah dari segi hukum. 

 

Sehubungan itu, TH menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pakej haji yang meragukan serta memastikan segala urusan dibuat melalui saluran rasmi. 

 

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membentuk satu Pasukan Petugas Khas yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR) serta TH bagi menangani isu penipuan pakej haji dan jemaah terkandas. 

 

Beliau berharap kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” ini diharap akan terus memperkukuh kesedaran masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi melindungi diri daripada risiko penipuan dan tindakan undang-undang.

 

Bagi musim haji 1447H/2026M, seramai 31,600 jemaah Malaysia akan menunaikan haji melalui 100 penerbangan sewa khas bermula 18 April 2026 sehingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang adalah antara 4 Jun 2026 sehingga 30 Jun 2026.

 

-TAMAT-