BAKAL JEMAAH HAJI SELANGOR PERKEMAS PERSIAPAN FASA AKHIR DI KURSUS PERDANA HAJI MUSIM HAJI 1447H/2026M

SHAH ALAM, 12 APRIL 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi musim 1447H/2026M bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. 

Kursus ini menjadi persiapan terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan latihan praktikal sebelum dijadualkan berangkat secara berperingkat ke Arab Saudi mulai 18 April nanti. 

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor. 

Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat di setiap negeri seluruh negara bermula 3 April hingga 12 April 2026 ini bukan sahaja memberi penekanan pada aspek ibadah, malah turut menitikberatkan nilai disiplin, pengurusan masa serta kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan yang juga hadir di majlis yang sama berkata jemaah haji negara harus akur dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi serta TH khususnya dalam situasi semasa demi memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah. 

“Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji akan sentiasa memantau perkembangan semasa serta bekerjasama rapat dengan pihal berkuasa Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara. Tabung Haji juga telah melakukan persiapan sebaiknya bagi memastikan operasi haji berjalan lancar, termasuk persediaan pelan kontigensi,” kata beliau lagi.

Kursus selama dua hari satu malam ini merupakan kemuncak kursus haji lanjutan daripada siri Kursus Asas dan Intensif Haji, bagi memperkukuhkan kefahaman berkaitan manasik (tatacara pelaksanaan) haji kepada bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci. 

Sepanjang kursus selama dua hari ini, bakal-bakal haji akan melakukan simulasi praktikal bertawaf, sa’ie, melontar ketiga-tiga jamrah dan ibadah haji lain bagi memberikan gambaran ketika berada di tanah suci nanti dan untuk memantapkan lagi kefahaman jemaah. Penerbangan ke Tanah Suci akan bermula dari 18 April hingga 20 Mei 2026 manakala penerbangan pulang dari Tanah Suci bermula dari 4 hingga 30 Jun 2026. Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini.