Dasar-dasar Integriti

Sebagai sebuah organisasi Islam, TH sentiasa memberi penekanan ke arah tahap integriti dan moral yang tinggi dalam kalangan anggota selain meningkatkan kepakaran dan kompetensi kerja.



TH telah menambah baik amalan tadbir urus tanpa bertolak ansur dalam semua hal berkaitan penyelewengan, rasuah serta mutu perkhidmatan yang boleh dipertikai oleh masyarakat umum. TH turut memberi penekanan kepada usaha pembudayaan terhadap integriti dalam diri semua anggota TH.


Pelan Integriti TH

Pelan Integriti TH menggariskan strategi teras yang direalisasi melalui program-program yang dirangka untuk menyemarakkan pembudayaan akhlak, etika dan integriti dalam kalangan pihak berkepentingan dan pelanggan semasa melaksanakan tugasan dan penyampaian perkhidmatan.


Elemen-elemen penting dalam Pelan Integriti TH ialah Kod Etika Perniagaan, Kod Etika Pembekal, Integrity Pact Dalam Perolehan dan Dasar Tidak Menerima Hadiah TH.

Muat Turun PDF Pelan Integriti TH

TH percaya bahawa tatalaku perniagaan yang telus dan tahap integriti yang tinggi secara konsisten mampu mendorong kesetiaan dan kepercayaan semua pihak berkepentingan.

Kod Etika Perniagaan TH merupakan satu set nilai dan peraturan bagi memelihara reputasi baik TH ke arah kecemerlangan perniagaan.

Kod Etika Perniagaan TH dirangka untuk mencapai matlamat-matlamat berikut:

1

Melambangkan komitmen TH dalam menegakkan amalan perniagaan yang beretika dan berintegriti berdasarkan nilai-nilai yang terkandung dalam Piagam Pelanggan TH.

2

Menjadi panduan bagi kelakuan yang boleh diterima ketika menjalankan perniagaan TH dari sudut undang-undang dan etika.

3

Membantu TH mengenal pasti serta menguruskan isu-isu berkaitan etika dan memupuk budaya nilai murni selaras Visi dan Misi TH.

Kod Etika Pembekal TH

Kod Etika Pembekal TH menggariskan prinsip, dasar dan peraturan yang wajib dipatuhi oleh setiap pembekal, pekerja dan subkontraktor kepada pembekal, ketika menyediakan barangan atau perkhidmatan untuk TH.

Pembekal hendaklah memastikan Kod ini dikongsi bersama semua individu yang ditugaskan untuk melaksanakan kerja bagi atau bagi pihak TH. Pembekal juga hendaklah memastikan semua tugas berkaitan dengan TH dilaksanakan oleh individu yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan sijil yang berkenaan.

Integrity Pact Dalam Perolehan TH

Bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kesalahan rasuah di kalangan anggota dan pihak-pihak yang berurusan dalam proses perolehan, TH telah memantapkan proses perolehan dengan meningkatkan tahap akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan integriti melalui pelaksanaan Integrity Pact.

Integrity Pact ialah proses aku janji oleh pembida/orang awam bahawa mereka tidak menawar atau memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak atau mempercepatkan sesuatu urusan berkaitan perolehan TH.

Tujuan utama pelaksanaan Integrity Pact ialah untuk:

1

Mengelakkan petender/ penyebut harga daripada menawar atau memberi rasuah.

2

Menghendaki petender/ penyebut harga melaporkan sebarang kesalahan rasuah kepada pihak berkuasa.

3

Memastikan TH tidak menanggung sebarang kos yang tidak perlu dalam urusan perolehan.

Muat Turun PDF Integrity Pact Dalam Perolehan TH

Polisi Penerimaan dan Pemberian Hadiah, Keraian dan Tajaan dalam TH

Polisi ini bertujuan untuk memberi penjelasan dan panduan mengenai pengurusan penerimaan atau pemberian hadiah, keraian dan tajaan dalam TH. Peraturan mengeni pengurusan penerimaan atau pemberian hadiah dan keraian dalam TH diperuntukkan di bawah peraturan 10 dan 11 Peraturan-Peraturan Tatatertib Tabung Haji 2010 [P.U. (A) 281/2010)].

Ianya diwujudkan selaras dengan hasrat untuk memperkukuhkan tadbir urus dan mekanisme pemantauan ke atas pengurusan penerimaan atau pemberian hadiah dan keraian TH. Penambahbaikan ini bertujuan untuk memastikan tadbir urus pengurusan penerimaan atau pemberian dan keraian sentiasa relevan selain mewujudkan polisi bagi penerimaan tajaan.