Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

Melahirkan Anggota Yang Komited Dan Cemerlang

Kekuatan sesebuah organisasi adalah hasil kerja keras dan komitmen anggotanya. Bagi membentuk anggota yang komited dan produktif, TH berusaha mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan mengujudkan keseimbangan di antara kualiti hidup dan mutu kerja. TH juga mendukung amalan pekerjaan yang baik termasuk penawaran imbuhan dan manfaat menarik, program-program latihan dan pembangunan serta pelan kebajikan anggota.

  • Kebajikan Pekerja

    Anggota TH menerima pelan ganjaran persaraan dan kemudahan tambahan lain seperti kos rawatan untuk keluarga, insurans dan tanggungan kos hospital, cuti tahunan, kos pembedahan ketika bersalin dan juga tambahan cuti bersalin untuk anggota wanita dan cuti isteri bersalin bagi anggota lelaki.

    TH turut menjaga kebajikan keluarga anggota dengan menawarkan biasiswa untuk anak-anak anggota yang cemerlang dalam pelajaran, sumbangan wang khairat bagi keluarga anggota yang meninggal dunia, bantuan kepada anggota yang dilanda musibah dan khidmat kaunseling kepada anggota yang memerlukan.

    Di samping itu, TH turut menganjurkan pelbagai program bermanfaat yang boleh disertai oleh anak-anak anggota dan masyarakat umum seperti Kem Anak Soleh Wamussoleh bersama Imam Muda, Seminar Transformasi Alam Remaja, Program Berkhatan, Korban, Kem Jati Diri dan beberapa program lain.

  • Skim Biasiswa untuk anak anggota
    Selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di kalangan rakyat Malaysia, TH telah memperuntukkan RM5 juta setahun untuk anak-anak anggota TH yang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara. Skim Biasiswa TH ini yang merangkumi yuran pengajian, tambang perjalanan, Takaful Perubatan dan Hayat serta elaun sara hidup.
  • Keselamatan & Kesihatan

    TH telah melaksanakan beberapa aktiviti keselamatan dan kesihatan bagi melahirkan persekitaran kerja yang sihat dan selamat untuk para anggotanya. Setiap tahun, beberapa anggota terpilih telah dihantar untuk menjalani latihan keselamatan kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Selain itu, aktiviti fire drill juga dijalankan bagi memastikan semua anggota bersiap-siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

    TH turut menganjurkan kempen derma darah, pameran dan pesta buah-buahan tempatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan beberapa aktiviti keselamatan dan kesihatan lain untuk para anggota.