Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|
  • Apa itu Notis Privasi TH?
    Notis Privasi TH adalah notis yang dikeluarkan kepada individu-individu yang mempunyai urusan transaksi komersial dengan TH. Ia mengariskan penggunaan dan perlindungan mengenai maklumat-maklumat data peribadi individu yang diproses oleh TH sebagai “Pengguna Data” selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
  • Apa itu Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (“APDP”) atau Personal Data Protection Act (“PDPA”)?

    APDP adalah suatu akta yang digubal oleh Kerajaan Malaysia dan telah diwujudkan pada 15 November 2013 untuk memberi perlindungan kepada data peribadi dan data peribadi sensitif anda yang diproses untuk tujuan transaksi komersial. APDP ini mempunyai 7 prinsip amalan pengendalian matklumat yang mesti dipatuhi iaitu :

    1. Prinsip Am;
    2. Prinsip Notis dan Pilihan ;
    3. Prinsip Penzahiran;
    4. Prinsip Keselamatan;
    5. Prinsip Penyimpanan;
    6. Prinsip Integriti Data; dan
    7. Prinsip Akses.
  • Siapa yang perlu mematuhi APDP?
    Semua individu dan organisasi yang memproses data peribadi anda dalam urusan mereka mesti mematuhi peraturan – peraturan yang ditetapkan dalam APDP. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dikecualikan.
  • Apa itu Data Peribadi?

    Data peribadi adalah sebarang maklumat yang diberi oleh anda untuk melanggan produk dan perkhidmatan agar TH dapat menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan efektif. Data peribadi anda adalah seperti berikut :

    1. Identiti anda (termasuk nama, tarikh lahir, nombor pengenalan);
    2. Butir-butir perhubungan (termasuk alamat, nombor telefon dan alamat email); dan
    3. Maklumat lain (termasuk pekerjaan dan nama majikan anda).
  • Apa itu Data Peribadi Sensitif?

    Data peribadi sensitif anda adalah seperti berikut :

    1. kesihatan atau keadaan fizikal atau mental;
    2. pendapat politik;
    3. kepercayaan agamanya dan kepercayaan lain; dan
    4. perlakuan atau apa – apa kesalahan.
  • Siapakah Pengguna Data?

    TH ialah Pengguna Data yang mengumpul maklumat data peribadi anda. Pengguna Data adalah individu atau organisasi yang :

    1. Memproses data peribadi, atau
    2. Mempunyai kawalan terhadap pemprosesan data peribadi, atau
    3. Membenarkan pemprosesan data peribadi
  • Apa itu „transaksi komersial‟?
    Urus niaga transaksi TH yang bersifat komersial, tanpa mengira sama ada ia bersifat kontrak atau tidak, yang termasuk apa-apa perkara yang berhubungan dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH. Ini juga termasuk pengumpulan data peribadi individu yang berpotensi untuk mengadakan urus niaga bersama TH.
  • Bagaimanakah TH melindungi data peribadi saya?
    TH mengambil langkah komprehensif untuk memastikan keselamatan dan kerahsiaan data peribadi anda dilindungi melalui keselamatan fizikal, teknikal dan proses IT yang diperlukan.
  • Apa itu “pemprosesan” Data Peribadi?

    APDP memberi definisi “pemprosesan” sebagai melakukan sesuatu terhadap data peribadi termasuklah mengumpul, merekod, memegang, menyimpan, menyusun, mengubah, menzahirkan dan memusnahkan. Hanya dengan membaca atau mengakses maklumat sudah dianggap “pemprosesan”. Contoh-contoh aktiviti yang boleh dianggap sebagai “pemprosesan” termasuklah :

    1. Mengumpul data menggunakan borang, melalui telefon atau melalui laman sesawang
    2. Menerbitkan data
    3. Menjual data
    4. Menggunakan data dalam pentadbiran
    5. Menggunakan data untuk tujuan pemasaran
    6. Merekodkan data
    7. Mendedahkan atau memberikan data kepada organisasi lain
    8. Memusnahkan data
  • Apakah hak saya sebagai Pendeposit / Individu / Subjek Data di bawah APDP?

    Anda diberikan hak – hak seperti berikut :

    1. Hak untuk diberitahu samada data peribadi anda diproses oleh TH
    2. Hak untuk mengakses data peribadi
    3. Hak untuk memperbetulkan data peribadi
    4. Hak untuk menarik balik kebenaran memproses data peribadi
    5. Hak untuk menghalang pemprosesan yang mungkin menyebabkan kerosakan atau tekanan (distress)
    6. Hak untuk menghalang pemprosesan bagi maksud pemasaran langsung
  • Bolehkah saya meminta untuk mengakses data peribadi saya?
    Ya, TH akan memberi kebenaran kepada anda untuk mengakses data peribadi anda yang wujud dalam sistem simpanan TH.
  • Bolehkah TH menolak permintaan saya untuk mengakses data peribadi?
    TH boleh menolak permintaan anda untuk mengakses data peribadi anda sekiranya identiti anda tidak dapat disahkan.
  • Bolehkah orang lain membuat permintaan untuk mengakses kepada data peribadi saya?

    Terdapat beberapa keadaan yang membolehkan orang lain mendapat kebenaran untuk mengakses kepada data peribadi anda iaitu:

    • jika anda di bawah umur 18 tahun, hanya penjaga akaun yang sah sahaja yang dibenarkan
    • entiti lain dalam TH iaitu anak-anak syarikat TH dan syarikat bersekutu TH
    • ejen dan penyedia perkhidmatan TH yang diberi kuasa yang dengannya TH telah mengikat perjanjian kontrak untuk beberapa fungsi, perkhidmatan dan aktiviti TH
    • rakan kongsi strategik dan penasihat/konsultan TH
    • agensi penguatkuasaan, kawal selia dan kerajaan, seperti yang dibenarkan atau dikehendaki oleh undang-undang, dibenarkan oleh mana-mana perintah mahkamah atau untuk memenuhi obligasi kepada pihak berkuasa
    • pihak yang diberi kebenaran oleh anda
  • Apakah yang boleh TH lakukan terhadap keizinan yang diberi oleh saya?
    Jika anda memberi keizinan, TH akan memproses data peribadi anda untuk tujuan penyediaan produk dan perkhidmatan yang anda langgani termasuk mengurus dan menyelenggara akaun anda, menjawab sebarang pertanyaan anda dan juga untuk tujuan penilaian, pemasaran, menghantar bahan/makluman pemasaran kepada anda melalui pelbagai saluran (contohnya e-mel, surat dan panggilan telefon dan lain-lain)
  • Apa yang berlaku jika saya tidak memberikan kebenaran?
    Kegagalan untuk membekalkan data peribadi anda boleh menyebabkan TH tidak dapat menyediakan produk dan perkhidmatannya kepada anda. Jika anda tidak memberikan keizinan kepada TH untuk tujuan pemasaran, TH akan memberhentikan penghantar bahan/makluman pemasaran untuk produk dan perkhidmatan kepada anda. Walau bagaimanapun, TH masih boleh menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan produk atau perkhidmatan yang telah anda daftarkan untuk memenuhi syarat – syarat kontrak, dan untuk tujuan undang-undang ataupun peraturan.
  • Bilakah saya boleh menarik balik kebenaran memproses data peribadi?
    Anda boleh menarik balik kebenaran memproses data peribadi pada bila-bila masa dengan menghubungi mana-mana cawangan TH, Khidmat Pelanggan (Tabung Haji Contact Centre) di talian 03-6207 1919 atau melayari www.tabunghaji.gov.my.
  • Jika saya menarik balik persetujuan untuk menerima bahan/makluman pemasaran atau promosi, adakah ia akan berkuatkuasa dengan serta-merta?
    TH mungkin akan mengambil masa empat belas (14) hari waktu bekerja sebelum penarikan balik persetujuan dipaparkan dalam sistem. Ini adalah kerana maklumat penarikan balik persetujuan perlu melalui proses pengesahan di seluruh kumpulan TH. Oleh itu, anda mungkin masih menerima bahan/maklumat pemasaran atau promosi semasa tempoh tersebut.
  • Apakah langkah keselamatan untuk memastikan bahawa sekiranya TH memberikan data peribadi saya kepada pihak ketiga, ia disimpan dengan selamat oleh pihak ketiga?
    Jika TH memberikan data peribadi anda kepada pihak ketiga yang dibenarkan, TH akan memastikan bahawa mereka mempunyai obligasi yang sama untuk melindungi data peribadi yang diberikan kepada mereka sewajarnya.
  • Berapa lama TH menyimpan data peribadi saya?
    TH hanya akan menyimpan data peribadi anda bagi tempoh yang tertentu sahaja untuk memenuhi tujuan ia dikumpulkan atau untuk mematuhi undang-undang, kawal selia dan keperluan dalaman pihak TH.
  • Adakah PDPA melindungi Data Peribadi saya yang dipindahkan kepada pihak di luar Malaysia?
    Ya, jika data peribadi itu diproses di Malaysia sebelum dipindahkan kepada pihak di luar Malaysia ia akan dilindungi di bawah APDP. Walau bagaimanapun, APDP tidak akan melindungi data peribadi yang diproses di luar Malaysia.