Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|
  • Apakah konsep simpanan di TH?
    Akaun simpanan TH mengikut konsep Al-Wadiah Yad Dhamanah di mana apa-apa pulangan dalam bentuk hibah tertakluk kepada prestasi kewangan tahun semasa dan budi bicara pengurusan.
  • Apakah konsep Al-Wadiah Yad Dhamanah?
    Berlandaskan Konsep Al-Wadiah Yad Dhamanah, wang simpanan dijamin kerajaan berdasarkan Seksyen 24, Akta Tabung Haji 1995. Manakala, pendeposit tidak boleh mengharap apa-apa pulangan daripada simpanan tersebut.
  • Selain TH siapakah yang mengguna pakai konsep ini?
    Konsep ini turut digunapakai oleh sebahagian besar institusi perbankan Islam lain di Malaysia.
  • Masih adakah pemberian hibah / bonus melalui konsep ini?
    Amalan pemberian hibah / bonus oleh institusi kewangan Islam kepada pendeposit adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, pemberian hibah tersebut tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai ‘urf (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadiah. Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.
  • Adakah pendeposit TH perlu membayar zakat wang simpanan mereka?
    Tidak perlu, TH telah membayar zakat ke atas wang simpanan bagi pihak pendeposit selari dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-17 pada 3 Mei 1979 yang memutuskan hal berikut. Akad zakat ini turut tertera pada helaian Terma dan Syarat akaun TH serta Slip Simpanan Wang yang menyatakan persetujuan pendeposit bahawa simpanan wang mereka akan diuruskan oleh TH seperti mana yang bersesuaian. Ini juga memberi maksud bahawa urusan pembayaran zakat TH bagi pihak pendeposit termasuklah di dalam perkara di atas.