Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|
  • Soalan Lazim Notis Privasi TH
    • Apa itu Notis Privasi TH?
      Notis Privasi TH adalah notis yang dikeluarkan kepada individu-individu yang mempunyai urusan transaksi komersial dengan TH. Ia mengariskan penggunaan dan perlindungan mengenai maklumat-maklumat data peribadi individu yang diproses oleh TH sebagai “Pengguna Data” selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
    • Apa itu Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (“APDP”) atau Personal Data Protection Act (“PDPA”)?

      APDP adalah suatu akta yang digubal oleh Kerajaan Malaysia dan telah diwujudkan pada 15 November 2013 untuk memberi perlindungan kepada data peribadi dan data peribadi sensitif anda yang diproses untuk tujuan transaksi komersial. APDP ini mempunyai 7 prinsip amalan pengendalian matklumat yang mesti dipatuhi iaitu :

      1. Prinsip Am;
      2. Prinsip Notis dan Pilihan ;
      3. Prinsip Penzahiran;
      4. Prinsip Keselamatan;
      5. Prinsip Penyimpanan;
      6. Prinsip Integriti Data; dan
      7. Prinsip Akses.
    • Siapa yang perlu mematuhi APDP?
      Semua individu dan organisasi yang memproses data peribadi anda dalam urusan mereka mesti mematuhi peraturan – peraturan yang ditetapkan dalam APDP. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dikecualikan.
    • Apa itu Data Peribadi?

      Data peribadi adalah sebarang maklumat yang diberi oleh anda untuk melanggan produk dan perkhidmatan agar TH dapat menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan efektif. Data peribadi anda adalah seperti berikut :

      1. Identiti anda (termasuk nama, tarikh lahir, nombor pengenalan);
      2. Butir-butir perhubungan (termasuk alamat, nombor telefon dan alamat email); dan
      3. Maklumat lain (termasuk pekerjaan dan nama majikan anda).
    • Apa itu Data Peribadi Sensitif?

      Data peribadi sensitif anda adalah seperti berikut :

      1. kesihatan atau keadaan fizikal atau mental;
      2. pendapat politik;
      3. kepercayaan agamanya dan kepercayaan lain; dan
      4. perlakuan atau apa – apa kesalahan.
    • Siapakah Pengguna Data?

      TH ialah Pengguna Data yang mengumpul maklumat data peribadi anda. Pengguna Data adalah individu atau organisasi yang :

      1. Memproses data peribadi, atau
      2. Mempunyai kawalan terhadap pemprosesan data peribadi, atau
      3. Membenarkan pemprosesan data peribadi
    • Apa itu „transaksi komersial‟?
      Urus niaga transaksi TH yang bersifat komersial, tanpa mengira sama ada ia bersifat kontrak atau tidak, yang termasuk apa-apa perkara yang berhubungan dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH. Ini juga termasuk pengumpulan data peribadi individu yang berpotensi untuk mengadakan urus niaga bersama TH.
    • Bagaimanakah TH melindungi data peribadi saya?
      TH mengambil langkah komprehensif untuk memastikan keselamatan dan kerahsiaan data peribadi anda dilindungi melalui keselamatan fizikal, teknikal dan proses IT yang diperlukan.
    • Apa itu “pemprosesan” Data Peribadi?

      APDP memberi definisi “pemprosesan” sebagai melakukan sesuatu terhadap data peribadi termasuklah mengumpul, merekod, memegang, menyimpan, menyusun, mengubah, menzahirkan dan memusnahkan. Hanya dengan membaca atau mengakses maklumat sudah dianggap “pemprosesan”. Contoh-contoh aktiviti yang boleh dianggap sebagai “pemprosesan” termasuklah :

      1. Mengumpul data menggunakan borang, melalui telefon atau melalui laman sesawang
      2. Menerbitkan data
      3. Menjual data
      4. Menggunakan data dalam pentadbiran
      5. Menggunakan data untuk tujuan pemasaran
      6. Merekodkan data
      7. Mendedahkan atau memberikan data kepada organisasi lain
      8. Memusnahkan data
    • Apakah hak saya sebagai Pendeposit / Individu / Subjek Data di bawah APDP?

      Anda diberikan hak – hak seperti berikut :

      1. Hak untuk diberitahu samada data peribadi anda diproses oleh TH
      2. Hak untuk mengakses data peribadi
      3. Hak untuk memperbetulkan data peribadi
      4. Hak untuk menarik balik kebenaran memproses data peribadi
      5. Hak untuk menghalang pemprosesan yang mungkin menyebabkan kerosakan atau tekanan (distress)
      6. Hak untuk menghalang pemprosesan bagi maksud pemasaran langsung
    • Bolehkah saya meminta untuk mengakses data peribadi saya?
      Ya, TH akan memberi kebenaran kepada anda untuk mengakses data peribadi anda yang wujud dalam sistem simpanan TH.
    • Bolehkah TH menolak permintaan saya untuk mengakses data peribadi?
      TH boleh menolak permintaan anda untuk mengakses data peribadi anda sekiranya identiti anda tidak dapat disahkan.
    • Bolehkah orang lain membuat permintaan untuk mengakses kepada data peribadi saya?

      Terdapat beberapa keadaan yang membolehkan orang lain mendapat kebenaran untuk mengakses kepada data peribadi anda iaitu:

      • jika anda di bawah umur 18 tahun, hanya penjaga akaun yang sah sahaja yang dibenarkan
      • entiti lain dalam TH iaitu anak-anak syarikat TH dan syarikat bersekutu TH
      • ejen dan penyedia perkhidmatan TH yang diberi kuasa yang dengannya TH telah mengikat perjanjian kontrak untuk beberapa fungsi, perkhidmatan dan aktiviti TH
      • rakan kongsi strategik dan penasihat/konsultan TH
      • agensi penguatkuasaan, kawal selia dan kerajaan, seperti yang dibenarkan atau dikehendaki oleh undang-undang, dibenarkan oleh mana-mana perintah mahkamah atau untuk memenuhi obligasi kepada pihak berkuasa
      • pihak yang diberi kebenaran oleh anda
    • Apakah yang boleh TH lakukan terhadap keizinan yang diberi oleh saya?
      Jika anda memberi keizinan, TH akan memproses data peribadi anda untuk tujuan penyediaan produk dan perkhidmatan yang anda langgani termasuk mengurus dan menyelenggara akaun anda, menjawab sebarang pertanyaan anda dan juga untuk tujuan penilaian, pemasaran, menghantar bahan/makluman pemasaran kepada anda melalui pelbagai saluran (contohnya e-mel, surat dan panggilan telefon dan lain-lain)
    • Apa yang berlaku jika saya tidak memberikan kebenaran?
      Kegagalan untuk membekalkan data peribadi anda boleh menyebabkan TH tidak dapat menyediakan produk dan perkhidmatannya kepada anda. Jika anda tidak memberikan keizinan kepada TH untuk tujuan pemasaran, TH akan memberhentikan penghantar bahan/makluman pemasaran untuk produk dan perkhidmatan kepada anda. Walau bagaimanapun, TH masih boleh menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan produk atau perkhidmatan yang telah anda daftarkan untuk memenuhi syarat – syarat kontrak, dan untuk tujuan undang-undang ataupun peraturan.
    • Bilakah saya boleh menarik balik kebenaran memproses data peribadi?
      Anda boleh menarik balik kebenaran memproses data peribadi pada bila-bila masa dengan menghubungi mana-mana cawangan TH, Khidmat Pelanggan (Tabung Haji Contact Centre) di talian 03-6207 1919 atau melayari www.tabunghaji.gov.my.
    • Jika saya menarik balik persetujuan untuk menerima bahan/makluman pemasaran atau promosi, adakah ia akan berkuatkuasa dengan serta-merta?
      TH mungkin akan mengambil masa empat belas (14) hari waktu bekerja sebelum penarikan balik persetujuan dipaparkan dalam sistem. Ini adalah kerana maklumat penarikan balik persetujuan perlu melalui proses pengesahan di seluruh kumpulan TH. Oleh itu, anda mungkin masih menerima bahan/maklumat pemasaran atau promosi semasa tempoh tersebut.
    • Apakah langkah keselamatan untuk memastikan bahawa sekiranya TH memberikan data peribadi saya kepada pihak ketiga, ia disimpan dengan selamat oleh pihak ketiga?
      Jika TH memberikan data peribadi anda kepada pihak ketiga yang dibenarkan, TH akan memastikan bahawa mereka mempunyai obligasi yang sama untuk melindungi data peribadi yang diberikan kepada mereka sewajarnya.
    • Berapa lama TH menyimpan data peribadi saya?
      TH hanya akan menyimpan data peribadi anda bagi tempoh yang tertentu sahaja untuk memenuhi tujuan ia dikumpulkan atau untuk mematuhi undang-undang, kawal selia dan keperluan dalaman pihak TH.
    • Adakah PDPA melindungi Data Peribadi saya yang dipindahkan kepada pihak di luar Malaysia?
      Ya, jika data peribadi itu diproses di Malaysia sebelum dipindahkan kepada pihak di luar Malaysia ia akan dilindungi di bawah APDP. Walau bagaimanapun, APDP tidak akan melindungi data peribadi yang diproses di luar Malaysia.
  • Amalan Kewangan TH
  • Soalan Lazim Yayasan TH
    • Bilakah Yayasan Tabung Haji (Yayasan TH) ditubuhkan?
      Yayasan Tabung Haji (Yayasan TH) telah diperbadankan pada 17 Mei 2016 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘Syarikat Berhad Menurut Jaminan’ atau “Company Limited By Guarantee” yang tidak mempunyai saham
    • Apakah objektif penubuhan Yayasan TH?
      Objektif Yayasan TH adalah:

      a) Untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang antaranya, memberikan bantuan dan sumbangan berikutan kejadian musibah atau bencana alam b) Untuk mentadbir dan mengurus dengan berkesan serta sistematik dana yang diperuntukkan oleh TH dan anak syarikat bagi tujuan biasiswa kepada anak-anak anggota TH dan anak-anak pesara TH yang layak serta program atau kegiatan berkaitan pendidikan; c) Untuk menggalakkan kajian dalam bidang Pendidikan Islam, Perbankan Islam, Perubatan dan lain-lain cabang Perundangan Syariah yang akan memberi faedah kepada rakyat Malaysia dan masyarakat global.
    • Bagaimana boleh tercetusnya penubuhan Yayasan TH?
      Rasa tanggungjawab untuk memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat terutamanya umat Islam melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) telah menjadi pencetus kepada penubuhan Yayasan TH. Ia juga selari dengan aspirasi Kerajaan sebagaimana yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri yang berharap agar pihak korporat dapat memainkan peranan lebih besar dalam aktiviti CSR.
      Yayasan TH akan ditadbir secara berasingan oleh Lembaga Pemegang Amanahnya sendiri bagi memastikan aktiviti-aktiviti CSR dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan.
    • Apakah tema Tanggungjawab Sosial Korporat Yayasan TH?
      Tema Tanggungjawab Sosial Korporat Yayasan TH adalah “Charity begins at home” atau ‘Kebajikan bermula dari rumah’
    • Apakah sumber dana Yayasan TH?
      Sumber dana bagi Yayasan TH bagi fasa pertama adalah dari sumbangan Lembaga Tabung Haji sendiri iaitu sebanyak RM5 juta setahun untuk program biasiswa dan aktiviti berkaitan dengan pendidikan.
      Manakala bagi fasa kedua, Yayasan TH menjemput rakan-rakan korporat yang ingin bersama-sama menyumbang dana untuk program-program CSR selepas mendapat kelulusan YB Menteri, Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pengecualian cukai.
    • Siapakah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TH?
      Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TH terdiri daripada Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Ismee Ismail.
    • Adakah Yayasan TH menyediakan pinjaman pendidikan?
      Tidak, Yayasan TH tidak menyediakan pinjaman pendidikan. Hanya biasiswa pendidikan pada mereka yang berkelayakan serta lain-lain sumbangan pendidikan akan diberikan
    • Siapakah yang akan menerima bantuan bagi tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan TH
      Yayasan TH akan menyalurkan bantuan kepada individu dan keluarga yang ditimpa musibah atau bencana. Yayasan TH juga turut membantu golongan yang dikategorikan sebagai golongan asnaf untuk meringankan beban dan tanggungjawab mereka.
    • Apakah maksud Ikon Mata Pensil serta Tunas Daun pada logo Yayasan TH?
      Logo yang berkonsepkan mata pensil dan tunas daun ini menunjukkan aktiviti-aktiviti Yayasan TH yang berfokus kepada pembangunan pendidikan di kalangan anak-anak anggota dan pesara TH yang cemerlang kerana mereka adalah generasi pemimpin masa hadapan dan mukmin professional sama ada di TH atau diluar.
      Daun juga melambangkan naungan yang diberi oleh Yayasan TH kepada golongan yang memerlukan bantuan atau sumbangan.
    • Dimanakah pejabat operasi Yayasan TH?
      Person-in-charge : En Ekma Faroza Bin Kamarudin
      Nombor telefon : 03-2054 2000 (samb. 3384)
      Emel : yayasanth.info@lth.gov.my

      Alamat:
      YAYASAN TABUNG HAJI,
      Lantai 27, Menara Tabung Haji,
      201, Jalan Tun Razak,
      40400 Kuala Lumpur
  • Soalan Lazim Hibah Tahunan dan Hibah Haji TH
    • Berapakah Hibah Pendeposit TH 2016
      Lembaga Tabung Haji (TH) mengisytiharkan pembayaran hibah tahunan TH sebanyak 4.25% dan hibah haji sebanyak 1.50% kepada pendeposit yang layak bagi tahun kewangan 2016.
    • Apakah Hibah Tahunan?
      Hibah Tahunan adalah “hadiah” yang diisytihar oleh TH, berdasarkan konsep Wadiah Yad Dhamanah iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa
    • Apakah Hibah Haji ?
      Hibah Haji adalah “hadiah khas” yang diberikan kepada pendeposit TH yang masih belum pernah menunaikan haji dan terhad kepada bayaran haji semasa (RM9,980).
    • Siapakah yang layak menerima Hibah Tahunan?
      Semua pendeposit yang mempunyai akaun simpanan TH yang berstatus aktif sehingga 31 Disember 2016, layak menerima hibah tahun 2016 pada kadar yang di isytiharkan. Sekiranya pendeposit menutup akaun sepanjang tahun semasa dan sebelum hibah tahun semasa diisytiharkan, maka kadar yang digunapakai adalah kadar bayaran ehsan yang berasaskan kadar simpanan tetap Perbankan Islam untuk tempoh 6 bulan. Tiada pelarasan akan dibuat selepas pada itu.
    • Bagaimanakah cara pengiraan Hibah Tahunan TH 2016?
      Cara pengiraan Hibah Tahunan TH 2016 adalah dengan mengambil kira purata baki minima bulanan selama 12 bulan dan didarabkan dengan kadar yang ditetapkan.

      Kiraan: Baki purata minima bulanan X 4.25% (Januari-Disember 2016/12 Bulan) X 4.25%
    • Siapakah yang layak menerima Hibah Haji?
      Semua pendeposit yang mempunyai akaun simpanan TH yang berstatus aktif sehingga 31 Disember 2016 dan belum pernah menunaikan haji.
    • Bagaimanakah cara pengiraan Hibah Haji?
      Cara pengiraan bonus haji adalah dengan mengambil kira purata baki minima bulanan selama 12 bulan dan didarabkan dengan kadar yang ditetapkan.
      Walau bagaimanapun, kadar kelayakan maksima adalah purata baki minima bulanan sehingga RM9,980.00 (terhad kepada bayaran haji semasa).

      Kiraan: Baki purata minima bulanan X 1.50% (Januari-Disember 2016/12 Bulan) X 1.50%

      Contoh:
       Purata Baki Minima Tahunan
      Bil Kurang daripada RM9,980 Lebih daripada RM9,980
      Purata Baki Minima Jumlah Layak Hibah Haji Purata Baki Minima Jumlah Layak Hibah Haji
      1 RM9,979.99 RM9,979.99 RM100,000.00 RM9,980.00
      2 RM4,500.00 RM4,500.00 RM25,300.80 RM9,980.00
      3 RM2,000.55 RM2,000.55 RM10,510.54 RM9,980.00
      4 RM730.00 RM730.00 RM9,980.01 RM9,980.00
      Kelayakan maksima pada kadar RM9,980.00 sahaja = RM9,980.00 x 1.50%
    • Bagaimanakah bayaran hibah tahunan dan hibah haji dibuat?
      Kedua-dua bayaran hibah ini akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit.
    • Bilakah Hibah Pendeposit TH 2016 boleh semak?
      Hibah Pendeposit TH 2016 ini boleh dibuat semakan bermula Isnin, 6 Februari 2016.
    • Adakah pendeposit yang mempunyai akaun pelaburan KWSP di TH layak menerima hibah haji?
      Tidak, kerana hibah haji hanya diberikan kepada pendeposit yang mempunyai akaun simpanan TH dan belum pernah menunaikan haji.
    • Mengapa hibah tahunan pendeposit tahun ini menurun?
      Simpanan di TH adalah berkonsepkan Al Wadiah Yad Dhamanah di mana simpanan adalah terjamin dan pemberian hibah tidak dijanjikan serta mengikut budibicara TH. Namun Alhamdulillah, walaupun situasi ekonomi dunia yang sedang meleset dan tidak menentu sekarang, prestasi kewangan TH kekal positif dan masih mampu memberi hibah kepada pendeposit.