Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

SKIM PELABURAN AHLI KWSP

  • Lembaga Tabung Haji (TH) telah dilantik oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai 01 Januari 1997 sebagai salah sebuah institusi di bawah Skim Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang telah dilancarkan pada November 1996.
  • Skim ini membolehkan ahli-ahli KWSP yang memenuhi syarat-syarat melaburkan wang mereka di dalam mana-mana institusi yang diluluskan oleh pihak KWSP.
  • Syarat-syarat menyertai skim ini boleh diperolehi di mana-mana TH Cawangan.

PENDAFTARAN HAJI PENCARUM KWSP

Inisiatif Pendaftaran Haji Ahli KWSP merupakan satu kemudahan yang membolehkan pendeposit TH yang mencarum dengan KWSP membuat pendaftaran haji dengan TH tanpa perlu mendepositkan RM1,300.00 dalam akaun TH.

Pendaftaran haji boleh dibuat dimana-mana kaunter TH atau kaunter Uniteller Bank Islam dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dengan mengemukakan Penyata KWSP yang terkini.

Syarat-syarat kelayakan bagi pendeposit TH yang juga ahli KWSP membuat Pendaftaran Haji adalah seperti berikut :

    a. Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap
    b. Beragama Islam
    c. Mempunyai simpanan KWSP dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM1,300.00
    d. Belum mencapai umur 55 tahun
    e. Mempunyai akaun simpanan TH

PENGELUARAN HAJI PENCARUM KWSP

Inisiatif Pengeluaran Haji Wang Caruman KWSP bagi mencukupkan bayaran haji telah diperkenalkan pada 28 September 2012 menerusi Bajet 2013.

Permohonan boleh dibuat di kaunter KWSP dengan mengemukakan surat tawaran menunaikan haji tahun semasa. Maksimum Pengeluaran Haji adalah sebanyak RM3,000 dengan syarat-syarat tertentu.

Syarat – syarat Pengeluaran :

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

i) Pendeposit TH yang juga ahli KWSP berumur kurang 55 tahun dan telah menerima surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ untuk mengerjakan Haji daripada TH;

ii) Pendeposit TH yang juga ahli KWSP belum cukup simpanan di TH bagi tujuan mengerjakan Haji;

iii) Kelayakan Amaun Pengeluaran : Perbezaan jumlah kos Haji dengan baki simpanan akaun TH ahli tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000.00 ATAU baki Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah);

iv) Bayaran pengeluaran dibayar secara terus ke akaun TH;

v) Kelayakan pengeluaran sekali sahaja; DAN

vi) Pengembalian amaun pengeluaran :

(a) Sekiranya ahli membatalkan/menangguhkan pemergian Haji, ahli perlu mengembalikan semula amaun pengeluaran kepada KWSP dan tindakan pemulihan akaun akan dibuat.

(b) Sekiranya berlaku kematian ahli selepas pengeluaran dibuat, waris ahli tidak perlu mengembalikan amaun tersebut kerana telah menjadi harta pusaka dan tuntutan oleh waris tertakluk kepada prosedur semasa TH.

Untuk maklumat lanjut bagi Pendaftaran Haji Ahli KWSP dan Pengeluaran Haji Pencarum KWSP di laman sesawang KWSP atau hubungi THCC di talian 03-6207 1919.