Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

Menurut Seksyen 11(1) Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Ahli Lembaga Pengarah telah diperuntukkan kuasa untuk menubuhkan satu jawatankuasa Penasihat Pelaburan yang dikenali sebagai Panel Pelaburan. Panel Pelaburan ini bertanggungjawab menasihati Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH ke atas keberkesanan aktiviti dan kawalan dalaman pelaburan TH dalam usaha mempertingkatkan nilai pelaburannya serta memperolehi pulangan yang kompetitif.

  • PENGENALAN

    Panel Pelaburan Tabung Haji (TH) ditubuhkan pada tahun 2001 oleh Lembaga Pengarah TH dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Seksyen 11 Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535).

    Panel Pelaburan merupakan sebuah badan bebas (independent) menggantikan jawatankuasa sebelumnya yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kajian Pelaburan yang keahliannya terdiri daripada kalangan Ahli Lembaga Pengarah dan orang perseorangan dan dipengerusikan oleh seorang ahli Lembaga Pengarah TH.

    Penubuhan awal Panel Pelaburan dan pelantikan Ahli Panel Pelaburan diluluskan melalui Resolusi Pekeliling Jemaah Lembaga Pengarah TH No. 2 (2/2001) bertarikh 18 September 2001.

    Keahlian Panel Pelaburan telah dipilih daripada kalangan pakar-pakar pelaburan dan ahli-ahli profesional oleh YB Menteri Kewangan dan kemudiannya dilantik dengan persetujuan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Objektif utama Panel Pelaburan adalah untuk menasihat Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) dalam menjalankan tanggungjawabnya untuk menimbang dan memberi persetujuan ke atas apa-apa cadangan pelaburan yang dikira sesuai untuk TH sebelum ia diangkat untuk kelulusan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    Panel Pelaburan turut berperanan menasihati pengurusan TH ke atas keberkesanan aktiviti dan kawalan dalaman pelaburan TH dalam usaha mempertingkatkan nilai pelaburan-pelaburannya serta memperolehi pulangan yang kompetitif.

  • KOMPOSISI PANEL PELABURAN

    Keahlian Panel sediada terdiri seperti berikut:-

    • Seorang Pengerusi;
    • Seorang wakil Bank Negara Malaysia atau di kalangan profesional sektor kewangan ;
    • Seorang pakar syarak yang diiktiraf;
    • Tidak lebih dari 5 orang ahli lain yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang-bidang yang berkaitan.

    Keahlian:

Dato’ Mohzani Datuk Dr. Abdul Wahab

DPSJ, SMP, ASDK

    • Sarjana Ekonomi (Kepujian) Universiti Malaya, Malaysia

    Dato’ Mohzani Datuk Dr. Abdul Wahab berasal dari Perlis. Beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah Celcom Axiata dan Boustead Plantations. Beliau yang merupakan siswazah Ekonomi dari Universiti Malaya, menyertai Kumpulan Shell sejak tahun 1976. Beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd masing-masing dari tahun 2001 dan 2005 sehingga persaraan beliau pada penghujung tahun 2009. Beliau bersara dari Shell Malaysia pada penghujung Januari 2010 setelah berkhidmat selama 33 tahun. Sebelum persaraan, beliau adalah Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif untuk Shell Refining Company (FOM) Berhad sehingga 31 Disember 2009 dan Ahli Lembaga Brunei Shell Marketing. Pada 2011, beliau dilantik sebagai Pengarah Bebas Pavillion REIT Management dan Hong Leong Investment Bank.

    Dato’ Mohzani Datuk Dr. Abdul Wahab telah dilantik sebagai Pengerusi Panel Pelaburan TH pada 1 Oktober 2015.

×

Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman

PSM, PJN, DSDK, SDK, AMN

    • Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
    • B.A Perundangan Islam (Syariah) Universiti Azhar, Kaherah, Mesir
    • Diploma Pendidikan, Universiti Ain Sham, Kaherah, Mesir
    • Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia

    Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman Tan Sri Sheikh Ghazali berasal dari Tobiar, Pendang, Kedah. Beliau merupakan mantan Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting, di antaranya Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, JAKIM; Ahli Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara dan Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri di Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan. Beliau juga bekas Ahli Majlis Syariah, Accounting and Auditing Organisation Islamic Financial Institution (AAOIFI) yang beribu pejabat di Bahrain.

    Beliau aktif di dalam aktiviti sosial melalui pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Perundingan Islam, Jabatan Perdana Menteri; Ahli Panel Undang-Undang Majlis Perundingan Islam, Jabatan Perdana Menteri; Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan; Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan MAIWP; Pengerusi Jawatankuasa “Good Governance” untuk Garis Panduan Syarikat MAIWP; Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); Ahli Jawatankuasa Kerja Projek Pembangunan IKIM; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penasihat Syariah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM); Ahli Lembaga Pemegang Amanah (MALPA) YWM; Ahli Lembaga Penasihat, Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Pengerusi Jawatankuasa Panel Syarie Tabung Wakaf Universiti Islam Malaysia (UIM); Panel Penasihat Pengajian Tinggi Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Ahli Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Program (Steering Committee on Programme Development), Diploma Kefatwaan, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD); Ahli Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Pensijilan Halal Malaysia JAKIM, Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa, JAKIM, Penyandang Kerusi Felo Utama, Fakulti Syariah & Undang-Undang USIM, Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pergerakan Gaji dan Kenaikan Pangkat IKIM, Ahli Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan IKIM, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin IKIM dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Program Sarjana Syariah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

    Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah TH sejak tahun 2010. Di atas sumbangan dan jasanya terhadap pembangunan ummah, beliau telah mendapat pengiktirafan dan pengurniaan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1416H, Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1995, Anugerah Penghargaan Ma’al Hijrah 1428H Peringkat Kebangsaan Tahun 2007 dan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1436H/ 2014M.

    Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan TH pada tahun 2001.

×

Dato’ Ghazali Awang

DIMP

    • Sarjana Muda Perdagangan, University of Newcastle, Australia
    • Akauntan Berkanun, The Institute of Chartered Accountants, Australia
    • Akauntan Berkanun, Institut Akauntan Malaysia (MIA)
    • Diploma Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia
    • Diploma Pengajian Syariah, Kolej Dar Al-Hikmah, Malaysia
    • Magister Agama (MA), Institut Agama Islam Negeri, Imam Bonjol, Padang Indonesia

    Dato’ Ghazali Awang dilahirkan di Kelantan. Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewangan dan telah banyak memegang jawatan penting di dalam beberapa organisasi di antaranya Ketua Akauntan/ Pengurus Kanan Kewangan & Pentadbiran di Amanah Saham Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad.

    Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Audit, Pengurus Perkhidmatan Kewangan, Ketua Akauntan dan Pengurus Dana di Kumpulan Shell Malaysia. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Kumpulan Guthrie Berhad sebagai Pengarah Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Kewangan & Perkhidmatan Korporat dan juga sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Bank Simpanan Nasional. Beliau juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di TH Marine Holdings (L) Inc dan syarikat-syarikat senaraian awam iaitu CCM Duopharma Biotech Berhad, HeiTech Padu Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, BIMB Investment Management Berhad dan TH Heavy Engineering Berhad.

    Dato’ Ghazali Awang telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 September 2011 dan tempoh perkhidmatan beliau tamat pada 31 Ogos 2015. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan TH pada 1 Oktober 2015.

×

Syed Elias Alhabshi

    • Sarjana Pengurusan Perniagaan, Asian Institute of Management Manila, Filipina

    Syed Elias Alhabshi berasal dari Melaka. Beliau adalah merupakan bekas pegawai kanan dalam bidang pelaburan, kewangan korporat dan perbankan. Beliau berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Asian Institute of Management, Filipina. Karier beliau bermula pada tahun 1961 di Malayan Banking Berhad dalam operasi perbankan runcit dan kemudian beliau berkhidmat di Bank Bumiputra Malaysia Berhad termasuk sebagai Pengurus Besar di pejabat London dan ibu pejabat. Pada 1982, beliau dilantik sebagai Naib Presiden dan Timbalan Ketua Eksekutif dan kemudiannya sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN Finance Corporation. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Babcock & Brown Asia Pacific, Penasihat Eksekutif Hong Leong Capital Berhad dan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pengguna, Hong Leong Bank Berhad dan sebagai Penasihat Phileo Allied Bank (Malaysia) Berhad. Semasa beliau di Merill Lynch selama 11 tahun, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Private Banking/Securities & Investment Division bagi Asia Tenggara dan Pengarah Eksekutif Special Projects Asia Pacific District, Private Banking Division. Beliau kini adalah Pengerusi Threadneedle Asset Management Sdn Bhd, sebuah syarikat Global Islamic Asset Management di Kuala Lumpur.

    Syed Elias Alhabshi dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan TH pada tahun 2009.

×

Abdul Kadir Md Kassim

    • LLB (Honours), University of Singapore

    Abdul Kadir Md Kassim berasal dari Taiping, Perak. Beliau merupakan seorang peguam yang telah beramal selama lebih 47 tahun. Kini, beliau merupakan Rakan Kongsi Kanan di Tetuan Kadir, Andri & Partners. Abdul Kadir adalah Pengerusi TimedotCom, sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah bagi Kumpulan UEM Berhad yang tidak disenaraikan, Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) dan Danajamin Nasional Berhad. Abdul Kadir juga merupakan Ahli Lembaga di dua buah syarikat tidak-berkeuntungan, iaitu Datuk Yaw Teck Seng Foundation dan The Renong Group Scholarship Trust Fund. Beliau juga merupakan ahli Corporate Debt Restructuring Committee dan Financial Services Professional Board.

    Abdul Kadir Md Kassim dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan TH pada tahun 2007.

×

Dato’ Abdul Rahman Ahmad

  • Dato’ Abdul Rahman Ahmad berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Ilmu Education Group Sdn Bhd, syarikat kumpulan pendidikan bersepadu terulung di Malaysia. Dato’ Abdul Rahman merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), syarikat firma ekuiti persendirian berkaitan kerajaan. Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif di Media Prima Berhad (MPB), dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif di Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

    Dato’ Abdul Rahman memulakan kerjayanya di Arthur Andersen, London, dan kemudian berkhidmat sebagai Pembantu Khas kepada Pengerusi Eksekutif Trenergy (M) Berhad / Turnaround Managers Inc Sdn Bhd Beliau kemudiannya menyertai Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan kemudian menjadi Pengarah Eksekutif SSR Associates Sdn Bhd.

    Dato’ Abdul Rahman berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Cambridge University, United Kingdom dan merupakan Ahli, Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW). Beliau kini adalah Pengarah Bukan Eksekutif Icon Offshore Berhad, Axiata Group Berhad (Axiata) dan M+S Pte Ltd, sebuah syarikat hartanah usaha sama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings (Private) Limited, RHB Investment Bank Berhad, DRB-Hicom Berhad dan Astro Malaysia Holdings Berhad.

    Dato’ Abdul Rahman Ahmad telah dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan TH pada 1 Oktober 2015.

×

Dato’ Izham bin Yusoff

  • Dato’ Izham bin Yusoff dilahirkan di Kedah. Beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Bina Darulaman Berhad (BDB).

    Dato’ Izham bin Yusoff mempunyai lebih daripada 20 tahun pengalaman dengan syarikat-syarikat besar dan multinasional di mana beliau memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dalam sektor korporat khususnya dalam perancangan korporat dan kewangan.

    Beliau dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BDB pada Ogos 2013 dan kemudiannya sebagai Pengarah Eksekutif Bukan Bebas sebelum memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengarah Eksekutif BDB mulai Februari 2014.

    Sebelum menyertai BDB, beliau merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), sejak Februari 2010 hingga Januari 2014. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Ninebio Sdn Bhd (2007-2010), Ketua Pegawai Operasi KUB Malaysia Berhad (2004-2007) dan Pengarah Urusan Amanah Raya Berhad (2002-2004).

    Beliau juga telah berkhidmat di beberapa syarikat tersenarai termasuk Bursa Malaysia Berhad.

    Beliau juga merupakan Ahli Bersekutu, Institute of Internal Auditors Malaysia.

    Dato’ Izham bin Yusoff dilantik sebagai Ahli Panel Pelaburan TH pada 1 Oktober 2015.

×

Dato’ Sri Jahaberdeen bin YM Mohamed Yunoos

  • Dato’ Sri Jahaberdeen bin YM Mohamed Yunoos

    Dilantik pada 1 November 2016.

×

Dato’ Iskandar Mizal Mahmood

  • Dato’ Iskandar Mizal Mahmood

    Dilantik pada 1 November 2016.

×