Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

Ahli Lembaga Pengarah diberi kuasa di bawah Seksyen 4(1) Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) untuk mentadbir kumpulan wang dan segala yang berkenaan dengan kebajikan jemaah haji. Ahli Lembaga Pengarah ini juga merumus dasar yang berkaitan dengannya dan perkara-perkara lain yang boleh dilakukan di bawah Akta ini.

Penubuhan Jemaah Lembaga Pengarah adalah menepati ketetapan keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah seperti yang dinyatakan di Bahagian II Seksyen 6 Akta 535.

Keahlian:

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim

PJN, SSAP, SPDK, DCSM, DIMP, JP, SJMK, DHMS

  • Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau adalah Ahli Parlimen Baling dan merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia sejak 2008 hingga kini. Di samping itu, beliau juga adalah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Rakyat Baling, Kedah. Beliau juga merupakan Presiden Kelab Putera 1 Malaysia yang telah ditubuhkannya pada 2010. Beliau sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan serta terlibat secara langsung dalam semua siri bantuan kemanusiaan di negara-negara yang ditimpa bencana alam.

    Beliau berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan korporat dan telah dilantik sebagai Pengerusi TH Hotel & Residence Sdn Bhd, Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dan Pengerusi di Seni Jaya Corporation Berhad. Selain itu, beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Brahim’s Holdings Berhad dan Glomac Berhad. Pada masa ini, beliau merupakan Pengerusi Eksekutif di Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd sejak tahun 2003.

    Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada tahun 2011. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Pengerusi TH pada 1 Julai 2013.

×

Datuk Seri Johan Abdullah

SMW, DJMK

    • Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) Universiti Morehead State, Kentucky Amerika Syarikat (AS)
    • Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) Universiti Eastern Michigan, Michigan AS.

    Datuk Seri Johan Abdullah berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Morehead State, Kentucky Amerika Syarikat (AS). Beliau juga adalah pemegang Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Eastern Michigan, Michigan AS.

    Sebelum menyertai TH, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Berhad (BHB) sejak Mei 2008. Beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa anak syarikat di dalam Kumpulan BHB. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan kanan semasa di Bursa Malaysia Berhad dan mempunyai pengalaman luas dalam kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan Islam.

    Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH pada 1 Julai 2016.

×

Tan Sri Othman Mahmood

PSM, PJN, SMW, DGMK, PMW, AMN

    • Sarjana Pengurusan Sumber Tanah, Universiti Putra Malaysia
    • Sarjana Muda Sosiologi (Kepujian), Universiti Kebangsaan Malaysia
    • Diploma Pentadbiran Awam (INTAN)

    Tan Sri Othman Mahmood berasal dari Muar, Johor. Beliau telah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 2006 dan kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Sepanjang kerjayanya di JPM, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting di antaranya, Setiausaha Bahagian di Bahagian Pengurusan Hartanah, Setiausaha Bahagian Kewangan & Pembangunan dan Timbalan Ketua Setiausaha. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah Seremban dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka.

    Beliau seorang yang aktif dalam kegiatan kebajikan, kemasyarakatan dan sukan. Antaranya beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Kelab Bukit Perdana JPM sejak tahun 2011, Naib Presiden Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia (KGPA) sejak 2014 dan Pengerusi Jawatankuasa Protem Pembinaan Surau dan Sekolah Agama di Presint 18 Putrajaya sejak 2014.

    Selain itu juga, Datuk Seri Othman Haji Mahmood telah dilantik sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi kepada beberapa entiti Kerajaan. Antaranya ialah Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sejak 2010, Ahli Lembaga Pengarah Majlis Ekuin Malaysia sejak 2011, Pengerusi Kluster Perkhidmatan Awam, Gabungan Pemikir Profesional Felda sejak 2014, Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Industry-Government Group For High Technology sejak 2014 dan Ahli Lembaga Pengarah TH Plantations Berhad sejak Oktober 2015.

    Tan Sri Othman Mahmood dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 16 Januari 2012.

×

Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah

PSM, SSAP, SPSK, DCSM, DIMP, DPSK, SAP

    • AMP Harvard, Amerika Syarikat
    • PhD. Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
    • Sarjana Sains Pengurusan Tenaga dan Dasar, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat
    • Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Demografi, Universiti Malaya

    Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Beliau menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1974 dan ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi. Beliau mula bertugas di Kementerian Kewangan pada tahun 2003 dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi bagi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyberview Sdn Bhd.

    Selain berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerajaan, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah bagi beberapa agensi dan badan kerajaan, antaranya Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

    Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Mac 2011.

×

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin

PSM, DIMP, DSNS, JSM

    • PhD. Akidah dan Falsafah Islam, Universiti Al-Azhar, Mesir
    • Sarjana Akidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar, Mesir
    • Sarjana Muda (Kepujian) Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir
    • Diploma Pendidikan, Universiti Ain Shams, Mesir

    Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin dilahirkan di Jerantut, Pahang. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia. Pada masa yang sama, beliau menganggotai beberapa jawatankuasa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di antaranya ialah Timbalan Pengerusi Akademi Fiqh Sedunia (RABITAH), Ahli Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Ahli Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pahang, Ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Ahli Majlis Perundingan Islam (MPI).

    Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor USIM dari tahun 1999 hingga 2009 dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama enam tahun. Beliau menerima Ijazah Doktor Kehormat dari UKM pada tahun 2010. Pada tahun 2010, beliau dianugerahkan Profesor Emeritus oleh USIM. Beliau juga dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 2011.

    Beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH Properties Sdn Bhd pada tahun 2013 dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 2014.

    Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 15 Oktober 2004.

×

Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin

PSM, DHMS, DSDK, BKM, PJK, JP

  • Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin dilahirkan di Yan, Kedah Darul Aman. Beliau adalah Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak 2008 sehingga kini. Beliau juga merupakan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia sejak 2008.

    Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi di The United Transport Company Sdn Bhd (Anak Syarikat MARA) dan Penasihat Rumah Budi Yan, Kedah (Rumah Anak-Anak Yatim). Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), KTM Berhad, Pernas International Holdings Berhad, Tourism Development Corporation, Kedah Cement Berhad dan MARA.

    Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Ahli Majlis Kolej Universiti Insaniah. Beliau adalah Ahli Parlimen Yan/Jerai dari tahun 1992 sehingga 1999 dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman dari 1999 sehingga 2004. Beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Jerai sekali lagi pada 2004 hingga 2008. Beliau juga berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH Travel & Services Sdn Bhd sejak tahun 2012, TH Hotel & Residence Sdn Bhd sejak tahun 2013 dan TH Global Services Sdn Bhd sejak Mac 2015.

    Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Januari 2005.

×

Tan Sri Datuk Mohamad Aziz

PSM, PJN, SMJ, KMN, PIS, BSI, AMN, PPN

  • Tan Sri Datuk Mohamad Aziz berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Beliau adalah Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia dari tahun 2008 sehingga kini. Di samping itu, beliau juga adalah Ahli Pihak Berkuasa RISDA. Beliau pernah menjadi wakil peribadi kepada YAB Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Seranta Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah dari tahun 1982 hingga 1986.

    Beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Parit Yaani, Johor dari tahun 1986 hingga 1999, Exco Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1990 hingga 1995, Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Johor (Tugas-Tugas Khas) dari tahun 1995 sehingga 1999 dan juga sebagai Ahli Parlimen Seri Gading dari tahun 1999 hingga 2013.

    Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Tenaga Switchgear Sdn Bhd (Anak Syarikat TNB) serta pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah TH Indopalms Sdn Bhd, Sabaco Sdn Bhd dan TH Hotel & Residence Sdn Bhd.

    Tan Sri Datuk Mohamad Aziz dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Januari 2011.

×

Tan Sri Shukry Mohd Salleh

PSM, PJN, SMW, DPSK, PGBK, ASDK, PMP, PSK, AMN

    • Sarjana Kajian Dasar Sosial, University of Hull, United Kingdom
    • Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian), Universiti Sains Malaya

    Tan Sri Shukry Mohd Salleh dilahirkan di Kelantan. Beliau kini merupakan Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kementerian, termasuk sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Penolong Setiausaha di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri. Beliau pernah bertugas dalam bidang Keselamatan di negeri Sarawak, Sabah dan Selangor. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya, Sabah, Negeri Sembilan dan Perak. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan.

    Beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada April 2015 dan Ahli Lembaga Pengarah Brandworth Corporation pada Mac 2016.

    Tan Sri Shukry Mohd Salleh telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 September 2015.

Datuk Rosni Sohar

DMSM, PJK

  • Datuk Rosni Sohar dilahirkan pada 1 Februari 1958 dan merupakan anak jati Hulu Selangor, Selangor. Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan Hulu Bernam dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Selain itu, beliau adalah merupakan Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 2009 sehingga kini. Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau merupakan seorang usahawan dan pernah berkhidmat sebagai pendidik. Beliau juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Kebajikan KOM.

    Beliau cenderung menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sosio-ekonomi komoditi sejagat terutamanya di Negeri Selangor. Beliau turut aktif memperjuangkan hak-hak asasi dan mempertingkatkan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor ekonomi dan pendidikan. Beliau terlibat secara langsung sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan yang melaksana dan menyelaras aktiviti kebajikan dan perkhidmatan sukarela bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi seluruh negara. Sebagai satu-satunya wanita dalam Ahli Lembaga Pengarah TH, keprihatinan beliau lebih ditumpukan bagi mendekati dan mendalami isu serta keperluan jemaah wanita di Malaysia.

    Beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH Hotel & Residence Sdn Bhd pada Ogos 2015.

    Datuk Rosni Sohar dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Februari 2014.

×