Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

Latarbelakang Tabung Haji

Bertepatan dengan konsep Islam sebagai “Addeen” agama untuk dunia dan akhirat, setiap ibadah yang difardhukan oleh Allah SWT memberi manfaat dunia dan akhirat. Atas iktikad mengerjakan haji, umat Islam terdorong mengumpulkan wang bagi membolehkan mereka berkemampuan memenuhi perbelanjaan ke Tanah Suci.

Bagi mengelakkan unsur riba’ yang haram di sisi Islam, berbagai kaedah tradisional menyimpan wang diamalkan. Ada juga yang menjual ternakan dan harta benda warisan bagi mencukupkan perbelanjaan ke Tanah Suci, yang mana akhirnya mengakibatkan tekanan ekonomi ke atas diri sendiri dan keluarga, semasa dan sekembalinya mereka dari menunaikan fardhu haji. Amalan ini juga secara tidak langsung turut merosakkan struktur ekonomi luar bandar serta mengancam pertumbuhan ekonomi negara.

Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan tersebut dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969 dengan tujuan untuk :

  • Membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat;
  • Membolehkan orang-orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam; dan
  • Memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardhu haji dengan mengadakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

Berasaskan kepada tujuan-tujuan itu Tabung Haji telah menetapkan matlamatnya iaitu memberi perkhidmatan yang baik, sempurna dan amat memuaskan kepada jemaah haji Malaysia dalam urusan menunaikan fardhu haji; memberi keuntungan yang maksimum kepada pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka.

Kenyataan ini adalah jelas menunjukkan bahawa Tabung Haji ditubuhkan bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam.

Sebagai sebuah badan yang berunsurkan korporat Tabung Haji amat peka dengan perkembangan dan perubahan yang melanda dunia di era 90an. Demi menjamin kesinambungan daya saingnya dalam era globalisasi satu kajian telah dibuat dalam tahun 1995 bagi meluaskan lagi skop dan peranan Tabung Haji. Dari itu, pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.