Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

Bagi membantu Lembaga Pengarah berkaitan pengauditan, Jawatankuasa Audit telah ditubuhkan pada 1 Januari 1989. Antara tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Audit adalah untuk mengkaji, menilai dan melaporkan mengenai perkara-perkara berikut:

  • Menetapkan skop audit dan perancangan audit dalaman;
  • Memastikan program, proses, hasil program serta penyiasatan audit dalaman dilaksanakan dan tindakan yang bersesuaian diambil berdasarkan cadangan audit dalaman;
  • Memastikan polisi dalaman, prosedur dan garis panduan, kawalan dalaman dan operasi yang mantap dilaksanakan;
  • Memastikan hasil kewangan suku tahun dan akhir tahun mematuhi piawaian perakaunan dan keperluan perundangan lain;
  • Memastikan keberkesanan sistem kawalan dalaman wujud dalam penilaian juruaudit dalam dan luar; dan
  • Memastikan tiada sebarang urusniaga yang boleh menimbulkan konflik kepentingan dan keraguan terhadap integriti Pengurusan TH.

Kuorum mesyuarat ialah 2 orang ahli dan Ketua Audit Dalam sebagai Setiausaha. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengurusan Kanan TH akan turut hadir atas jemputan Jawatankuasa Audit.

Keahlian Jawatankuasa Audit:

Tan Sri Othman Mahmood

PJN, PMW, AMN, DGMK

    • Sarjana Pengurusan Sumber Tanah, University Putra Malaysia.
    • Sarjana Muda Sosiologi(Kepujian), Universiti Kebangsaan Malaysia
    • Diploma Pentadbiran Awam (INTAN)

    Tan Sri Othman Mahmood berasal dari Muar, Johor. Beliau telah berkhidmat di JPM dari tahun 2006 dan kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri. Sepanjang kerjayanya di JPM, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting di antaranya, Penolong Pengarah di Kementerian Kewangan, Setiausaha Bahagian di Bahagian Kewangan & Pembangunan dan Timbalan Ketua Setiausaha.

    Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah di Negeri Sembilan dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka.

    Beliau aktif dalam kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan dan telah dilantik sebagai Pengerusi Kelab Bukit Perdana JPM pada tahun 2011 dan Setiausaha Kehormat Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia (KGPA).

    Tan Sri Othman dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 16 Januari 2012.

×

Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah

PSM, SSAP, SPSK, DCSM, DIMP, DPSK, SAP

    • AMP Harvard, Amerika Syarikat
    • PhD. Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
    • Sarjana Sains Pengurusan Tenaga dan Dasar, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat
    • Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Demografi, Universiti Malaya

    Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Beliau menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1974 dan ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi. Beliau mula bertugas di Kementerian Kewangan pada tahun 2003 dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi bagi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyberview Sdn Bhd.

    Selain berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerajaan, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah bagi beberapa agensi dan badan kerajaan, antaranya Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Lembaga Kemajuan Tanah (FELDA) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

    Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Mac 2011.

×

Datuk Rosni Sohar

DMSM, PJK

  • Datuk Rosni Sohar dilahirkan pada 1 Februari 1958 dan merupakan anak jati Hulu Selangor, Selangor. Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan Hulu Bernam dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Selain itu, beliau adalah merupakan Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 2009 sehingga kini. Sebelum bergiat aktif dalam politik, beliau merupakan seorang usahawan dan pernah berkhidmat sebagai pendidik. Beliau juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Kebajikan KOM.

    Beliau cenderung menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sosio-ekonomi komoditi sejagat terutamanya di Negeri Selangor. Beliau turut aktif memperjuangkan hak-hak asasi dan mempertingkatkan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor ekonomi dan pendidikan. Beliau terlibat secara langsung sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan yang melaksana dan menyelaras aktiviti kebajikan dan perkhidmatan sukarela bagi membantu rakyat di peringkat akar umbi seluruh negara. Sebagai satu-satunya wanita dalam Ahli Lembaga Pengarah TH, keprihatinan beliau lebih ditumpukan bagi mendekati dan mendalami isu serta keperluan jemaah wanita di Malaysia.

    Beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH Hotel & Residence Sdn Bhd pada Ogos 2015.

    Datuk Rosni Sohar dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah TH pada 1 Februari 2014.

×