Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

Dana Bumiputera Al-Ansar yang dilancarkan merupakan Akaun Pelaburan Terhad (Restricted Investment Account “RIA”) yang pertama di Malaysia yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Dana ini menyediakan kemudahan pembiayaan dan kredit bernilai antara RM50,000 hingga RM1 juta dalam tempoh 5 tahun, dengan tawaran kontrak yang mematuhi Syariah iaitu Kontrak Tawarruq. Lembaga Tabung Haji telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk dana ini dan Bank Islam Malaysia Berhad dilantik sebagai agen Pengurus dana (Program Pembiayaan PKS Al-Ansar) bagi menyalurkan kemudahan pembiayaan tersebut kepada usahawan-usahawan Bumiputera terpilih.

Peruntukan dan Pengurusan Dana

Salah satu inisiatif Tabung Haji untuk menyahut seruan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam ucapan beliau ketika pembentangan bajet 2015 yang bertajuk “Ekonomi Keperluan Rakyat”:

“STRATEGI KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA Tindakan Ke-3: PKS Bumiputera

  1. Bagi PLS Bumiputera pula, antara inisiatif-inisiatif khusus yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2015 adalah seperti berikut:

Pertama Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam. Tujuan akaun ini adalah bagi menyedia kemudahan pembiayaan dan kredit yang bernilai antara 50 ribu hingga 1 juta ringgit mulai Januari 2015.”

Dana Bumiputera Al-Ansar bertujuan untuk memberi perkhidmatan dan bantuan kepada usahawan Bumiputera dalam urusan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan dan kredit untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dengan menggalakkan usahawan Bumiputera dari segi kemudahan pembiayaan seperti pembiayaan modal kerja, pembiayaan kontrak, dan perbelanjaan modal.

Produk Akaun Pelaburan Terhad

Memberi bantuan modal, dapat membantu industri SME negara dalam menghadapi cabaran dan terus berdaya saing serta mengambil peluang yang sedia ada di bawah komuniti ekonomi ASEAN.

Kriteria Pembahagian Dana

Kriteria-kriteria yang menentukan pembahagian dana adalah seperti berikut:

Kriteria Indikatif Pelaburan Dana Bumiputera Al-Ansar
Dana Pelaburan Sehingga RM200 juta
Kontrak Syariah Tawarruq
Jumlah Pembiayaan RM50,000 – RM1,000,000
Pemilikan Dimiliki sepenuhnya oleh syarikat / usahawan Bumiputera Muslim
Jenis Perniagaan Syarikat / Pemilikan Tunggal (operasi perniagaan sepenuh masa)
Rekod Keuntungan Syarikat mencapai keuntungan sekurang-kurangnya setahun / breakeven
Tempoh Pembiayaan Tidak melebihi 5 tahun
Jenis Pembiayaan Pembiayaan Jangka / Berkala, Pembiayaan Dagangan, Pembiayaan Kontrak, Pembiayaan Modal Kerja, Pembiayaan Perbelanjaan Modal, dan pelbagai produk Bank Islam

Keutamaan 11 Sektor Industri

Lembaga Tabung Haji juga akan memperuntukkan dana ini dengan memberi keutamaan kepada 11 sektor industri seperti Makanan Halal, Minyak dan Gas, Pendidikan, Kesihatan, Pertanian, Pertanian Asas dan Asas Tani, Pembinaan, Pengangkutan, Sokongan Telekomunikasi dan Utiliti, Borong dan Runcit, dan Hospitaliti. Ini adalah bertujuan untuk mengembangkan usahawan-usahawan Bumiputera yang khususnya berkecimpung di dalam sektor-sektor tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Nombor Hotline Bahagian Perbankan Komersial, Ibu Pejabat Bank Islam
Tel: 03-20887979

Pusat Panggilan Bank Islam
Tel : 03-26 900 900
E-mel : contactcenter@bankislam.com.my