Assalamualaikum, Selamat Datang ke Portal Rasmi Lembaga Tabung Haji
|

TH LANCAR PRODUK HIBAH AMANAH

KUALA LUMPUR, 2017-05-11 - Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini melancarkan produk terbaharunya, “Hibah Amanah” khusus kepada lebih 9 juta pendeposit negara. Pelancaran produk ini disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Ibu Pejabat TH, Jalan Tun Razak.

Menurut YB Dato' Seri Jamil Khir, Islam telah menggariskan panduan yang lengkap kepada umatnya mengenai urusan pembahagian harta supaya hal ehwal kebajikan ahli keluarga terpelihara semasa masih hidup ataupun selepas meninggal dunia.

“Usaha Tabung Haji melancarkan produk Hibah Amanah ini dialu-alukan kerana dapat membantu mengurangkan masalah wang simpanan yang tidak dituntut, selain memberi peluang kepada penyimpan untuk mengurus kewangan mereka dengan lebih baik dan mengelakkan perebutan harta apabila berlaku kematian. TH turut mensasarkan pendaftaran Hibah Amanah TH sebanyak 50,000 bagi tahun pertama ini,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH, Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan barisan Pengurusan Kanan TH.